
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.
Beliau sebaliknya berkata pelantikan hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi tetap tertakluk kepada Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.
“Akta JAC lebih kepada menapis, menilai dan mengatur (cadang) nama-nama calon, tetapi ia bukan akta pemuktamad (finalisation). Cadangan itu tidak mengikat.
“Nama-nama yang disaring JAC tetap perlu melalui prosedur di bawah Perkara 122B. Kalau mahu proses JAC itu mengikat, maka Perlembagaan perlu dipinda,” katanya kepada pemberita sebelum merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Pengerang hari ini, lapor Bernama.
Azalina turut merujuk penjelasan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nazri Abdul Aziz menerusi hansard di Dewan Rakyat yang menjelaskan bahawa Akta JAC adalah satu peruntukan pentadbiran dan tidak mempunyai kuasa mengikat.
Dalam pada itu, beliau berkata pelantikan pengganti jawatan tertinggi kehakiman hanya akan diputuskan selepas Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269 pada 15 hingga 17 Julai ini.
Mengenai perarakan Badan Peguam Malaysia esok, Azalina berkata ia adalah hak demokrasi selagi dilakukan secara profesional dan mengikut undang-undang.
“Kalau hendak berarak, itu hak mereka. Tapi saya pasti, selaku peguam, kebanyakannya profesional.
“Mereka tahu tentang Perkara 122B dan Akta JAC 2009,” katanya.