
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, berkata selain berkongsi cadangan ketika sesi libat urus bersemuka, mereka juga boleh memuat naik cadangan menerusi portal khas yang dibangunkan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) di https://petari.bheuu.gov.my.
“Objektif townhall ini untuk mendapatkan respons banyak pihak, diikuti portal yang dirasmikan. Selain townhall, mereka juga boleh muat naik pandangan dan kita akan nilai.
“Kalau kita tengok tadi (townhall) ramai yang beri pandangan berhubung isu tanggungjawab, liabiliti, rotan dan macam-macam lagi. Namun, buat masa ini kita tidak memberikan sebarang respons,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Sesi Townhall ‘Antibuli’ anjuran BHEUU.
Turut hadir Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Azalina berkata, sesi libat urus itu akan diteruskan di beberapa negeri lain termasuk Selangor, Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Perak mulai minggu depan.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan RUU itu dijangka dibentangkan di Parlimen bulan depan selepas selesai sesi libat urus.
“Jadi, kami berharap boleh dapat kelulusan Dewan Negara dan Dewan Rakyat dan kita boleh kuat kuasa pada tahun depan.
“Kita mahu dengar lebih banyak pandangan orang ramai. Tidak bermakna jika masyarakat hanya meluahkan kemarahan tanpa memberikan cadangan konstruktif.”
Sementara itu, BHEUU dalam kenyataan memaklumkan sesi libat urus itu dihadiri hampir 300 peserta, antaranya wakil kementerian dan agensi kerajaan, guru, ibu bapa, pelajar, wakil komuniti, pertubuhan bukan kerajaan dan sektor swasta bagi membincangkan inisiatif bersepadu memerangi isu buli.
“Komitmen ditunjukkan semua pihak yang hadir mencerminkan tekad bersama untuk mencari penyelesaian tuntas terhadap isu buli,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Ia selaras keputusan mesyuarat Jemaah Menteri pada 29 Ogos lalu yang memberi kepercayaan kepada Azalina mempengerusikan Jawatankuasa Khas Menangani lsu Buli bagi menyelaras strategi antara kementerian dan agensi.
Antara cadangan utama sedang dipertimbangkan dalam penggubalan RUU antibuli ialah penubuhan Tribunal Antibuli khusus berfungsi sebagai badan separa kehakiman untuk mengendalikan kes buli lebih cepat, mesra mangsa dan berorientasikan pemulihan, khasnya kes membabitkan golongan rentan bawah 18 tahun.
BHEUU turut menandatangani nota kerjasama dengan Kementerian Pendidikan dalam Pengukuhan Pelaksanaan Pemahaman Undang-undang Kepada Para Pendidik Dalam Usaha Pencegahan Bagi Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak Dan Pembangunan Model Undang-undang Antibuli Terhadap Kanak-kanak.
“Meskipun terdapat peruntukan undang-undang mencukupi, pendekatan perundangan tidak boleh hanya berorientasikan hukuman semata-mata, terutamanya apabila pelaku buli ialah kanak-kanak atau remaja.
“Sebaliknya, penekanan utama akan diberikan kepada pemulihan dan pendidikan, selaras Akta Kanak-kanak 2001. Sistem tribunal yang dicadangkan dilihat lebih sesuai kerana ia membolehkan penyelesaian menjurus kepada rehabilitasi, bukan pemenjaraan semata-mata.”