Cadangan pengeluaran bulanan KWSP hanya untuk ahli lahir selepas 2010

Cadangan pengeluaran bulanan KWSP hanya untuk ahli lahir selepas 2010

Ketika ini perkhidmatan pengeluaran bulanan KWSP yang sedia ada hanya terpakai kepada ahli yang menyertainya secara sukarela.

KWSP menjelaskan bahawa tiada rancangan untuk meminda kaedah ketika ini iaitu membenarkan pengeluaran penuh untuk ahli yang mencapai umur 55 dan 60.
PETALING JAYA:
Cadangan pengeluaran bulanan mandatori Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja yang mencapai umur 55 dan 60 tahun hanya melibatkan ahli-ahli baru yang lahir pada atau selepas 2010.

KWSP menjelaskan bahawa tiada rancangan untuk meminda kaedah ketika ini iaitu membenarkan pengeluaran penuh untuk ahli yang mencapai umur 55 dan 60.

Tambahnya, perkhidmatan pengeluaran bulanan KWSP yang sedia ada hanya terpakai kepada ahli yang menyertainya secara sukarela sahaja.

“Bayaran pertama di bawah kaedah mandatori ini akan dibuat selepas persaraan ahli-ahli ini, yang dijangkakan hanya akan berlaku beberapa dekad dari sekarang.

“Cadangan ini masih diteliti dan KWSP memberi jaminan bahawa sebarang keputusan berhubung pengeluaran simpanan dibuat dengan pertimbangan yang teliti dan selari dengan komitmen KWSP demi kepentingan masa depan ahli,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada minggu lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sedang memuktamadkan butiran berhubung cadangan mewajibkan pesara membuat pengeluaran bulanan KWSP apabila mereka mencapai usia 55 tahun

Anwar, yang juga menteri kewangan berkata, Putrajaya tidak mempunyai bantahan terhadap cadangan itu tetapi ia bergantung kepada kapasiti KWSP.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Amir Hamzah dilaporkan berkata pengeluaran bulanan tersebut akan memberikan peluang kepada pencarum menerima dividen tahunan dengan baki simpanan yang mereka ada.

Menurut laporan Sinar Harian, Amir berkata tidak ramai yang memilih membuat pengeluaran bulanan pada masa ini, dan ini memberi ruang kepada KWSP untuk mempromosikannya dengan lebih hebat.

Pada masa ini, pengeluaran KWSP selepas bersara adalah secara sukarela.

Semua pemegang akaun KWSP boleh mengeluarkan sehingga 30% daripada simpanan mereka pada usia 50 tahun. Apabila mencapai usia 55 tahun, mereka boleh membuat pengeluaran penuh atau sebanyak mana yang mereka kehendaki.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.