
Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, cadangan Bank Dunia itu wajar dipertimbangkan, manakala Mohd Afzanizam Abdul Rashid pula berpendapat usia 60 tahun lebih praktikal ketika ini.
Ketika ini, pencarum KWSP boleh mengeluarkan keseluruhan caruman pada usia 55 tahun atau 60 tahun.
Aimi, penganalisis dari Universiti Kuala Lumpur berkata, cadangan itu relevan memandangkan ramai pekerja kini berdepan tekanan kewangan kerana perlu menyara anak yang masih belajar serta dalam masa sama menjaga ibu bapa yang sudah lanjut usia.
Katanya, keadaan itu sering digelar sebagai ‘generasi sandwich’ kerana mereka terpaksa menanggung dua generasi serentak.
“Pendapatan ramai pekerja tidak sepadan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat. Pada masa sama, ibu bapa juga semakin bergantung pada anak-anak kerana jangka hayat rakyat Malaysia kini semakin panjang, kebanyakannya melebihi 70 tahun.
“Dengan menaikkan umur pengeluaran KWSP, ia dapat membantu pekerja menambah lagi simpanan dan memberi masa lebih stabil untuk mengurus tanggungan keluarga,” katanya kepada FMT.
Terdahulu, Bank Dunia mencadangkan Malaysia menyesuaikan dasar persaraan dengan jangka hayat rakyat yang semakin meningkat. Badan itu menyifatkan akses kepada simpanan pada umur 55 tahun dan sepenuhnya pada umur 60 tahun sebagai terlalu awal dan boleh menyebabkan simpanan habis sebelum tamat tempoh persaraan.
Laporan Bank Dunia turut menjangka 14% penduduk Malaysia akan berusia 65 tahun ke atas menjelang 2045, dan angka itu dijangka meningkat kepada 20% pada 2056, sekali gus memerlukan perancangan persaraan lebih kukuh.
Namun, Afzanizam yang juga ketua ahli ekonomi Bank Muamalat berkata, umur 60 tahun adalah pilihan lebih praktikal kerana ia bersesuaian dengan usia persaraan majoriti pekerja di Malaysia ketika ini.
Menurutnya, jika terdapat perubahan dasar, ia perlu dilakukan secara berperingkat dan bukan mendadak.
“KWSP perlu memberi penerangan jelas mengenai sebab perubahan dibuat. Rakyat perlu sedar bahawa umur pengeluaran 55 tahun sudah lama tidak disemak dan tidak lagi seiring keadaan semasa,” katanya.
Beliau menegaskan sebarang pembaharuan dasar perlu dilaksanakan dengan berhati-hati serta mengambil kira realiti kehidupan rakyat.
“Dasar ini perlu seimbang antara keperluan jangka panjang dan kemampuan pekerja. Pelaksanaannya perlu penuh empati, bukan hanya ideal di atas kertas,” katanya.