
Muhyiddin (PN-Pagoh) berkata, proses permohonan tahunan dan kerenah birokrasi sedia ada hanya melewatkan bantuan sampai kepada golongan memerlukan.
“Pangkalan data penerima sepatutnya disepadukan antara agensi seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), eKasih dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Sistem ini boleh mengenal pasti isi rumah B40 dan M40 bawah secara automatik dengan penilaian kelayakan dibuat secara dalaman setiap tahun,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2026 di Dewan Rakyat.
“Hanya apabila berlaku perubahan besar barulah kemas kini dilakukan. Ini menjimatkan masa, mengelakkan keciciran, dan yang paling penting, melindungi kebajikan rakyat.”
Kerajaan memperuntukkan RM15 bilion untuk bantuan tunai Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) melalui Belanjawan 2026, peningkatan RM2 bilion daripada RM13 bilion pada tahun sebelumnya.
Bawah inisiatif itu, sembilan juta penerima STR akan menerima bantuan sehingga RM100 setiap bulan, manakala sejuta peserta eKasih bagi kategori miskin dan miskin tegar pula akan menerima sehingga RM200 sebulan.
Dalam perkembangan lain, Muhyiddin mendedahkan hutang negara kini melepasi paras RM1.4 trilion, dengan bayaran khidmat hutang sahaja mewakili 14% daripada keseluruhan perbelanjaan operasi kerajaan.
Beliau menyifatkan amalan meminjam bagi melunaskan faedah hutang sedia ada ‘bukan pengurusan yang berdisiplin, tetapi resepi berlakunya malapetaka ekonomi’.
“Oleh itu, saya menggesa kerajaan mengemukakan satu Pelan Jalur Penurunan Hutang, iaitu satu pelan yang jelas dengan sasaran menurunkan nisbah hutang kepada KDNK secara berperingkat di samping memastikan setiap pinjaman baharu digunakan hanya untuk perbelanjaan produktif,” katanya.