Remaja bawah umur kerja kilang boleh jejas imej negara, kata persatuan majikan

Remaja bawah umur kerja kilang boleh jejas imej negara, kata persatuan majikan

Presiden MEF, Syed Hussain Syed Husman berkata isu buruh kanak-kanak boleh lemahkan kedudukan negara dalam laporan antarabangsa seperti TIP US.

Pada 17 Nov lalu, 13 remaja bawah umur termasuk berusia 14 tahun ditahan JPN kerana bekerja di sebuah kilang kotak di Senai, Johor menggunakan kad pengenalan orang lain. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kes 31 remaja bawah umur yang ditahan kerana bekerja di sebuah kilang kotak menggunakan kad pengenalan milik orang lain menunjukkan risiko pematuhan undang-undang yang serius dan boleh menjejaskan imej negara.

Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Syed Hussain Syed Husman berkata penggunaan kad pengenalan atau MyKad orang lain menandakan wujudnya kelemahan dalam sistem tapisan dan pengesahan pekerja, termasuk tiada verifikasi biometrik atau semakan silang yang lebih ketat.

Katanya, majikan yang menggaji pekerja bawah umur, walaupun tanpa sedar, tetap boleh dikenakan tindakan kerana gagal melaksanakan verifikasi identiti yang mencukupi.

“Dari sudut integriti rantaian bekalan global pula, isu pekerja bawah umur boleh menyebabkan kilang disenarai hitam oleh pelanggan antarabangsa yang mengamalkan pematuhan sangat ketat terhadap standard Environmental, Social, and Governance (ESG).

“Ke ini juga boleh menjejaskan imej Malaysia di mata dunia dalam isu buruh kanak-kanak dan melemahkan kedudukan negara dalam laporan antarabangsa seperti Laporan Pemerdagangan Manusia Amerika Syarikat (TIP US),” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas laporan 16 lelaki dan 15 perempuan bawah umur ditahan selepas dipercayai bekerja secara separuh masa dengan menggunakan kad pengenalan orang lain di sebuah kilang kotak di Taman Teknologi Johor, Senai pada 17 Nov lalu.

Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya, Mohammad Khairu Farhan Md Saad berkata semua remaja itu menggunakan kad pengenalan termasuk milik ahli keluarga bagi tujuan mendapatkan pekerjaan.

Sebahagian daripada remaja itu didapati berhenti sekolah seawal usia 12 tahun dan sebahagiannya pula masih bersekolah dengan memberikan alasan bekerja di kilang ketika cuti persekolahan.

Mengulas lanjut Syed Hussain berkata kes ini tidak boleh dilihat hanya sebagai salah laku individu kerana ia mencerminkan masalah sosial lebih besar seperti kemiskinan keluarga yang memaksa anak bekerja dan kanak-kanak berhenti sekolah lebih awal kerana tiada intervensi awal oleh sistem pendidikan.

Syed Hussain Syed Husman
Syed Hussain Syed Husman.

Menurutnya lagi, pekerja bawah umur yang menggunakan identiti orang lain juga tidak layak menerima perlindungan sosial seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan insurans pekerjaan.

“Jika berlaku kemalangan, majikan dan keluarga menghadapi risiko undang-undang, sementara remaja tersebut tidak mendapat pampasan.

“Mereka juga terdedah kepada risiko keselamatan dan kesihatan pekerjaan kilang yang biasanya mempunyai mesin berat, bahan kimia dan risiko kecederaan,” katanya.

MEF juga menyarankan majikan menggunakan verifikasi biometrik semasa pengambilan pekerja dan semakan silang dengan sistem JPN bagi melindungi majikan daripada risiko ketidak patuhan undang-undang.

“Kes ini memberi isyarat jelas bahawa Malaysia perlu memperkukuh pemantauan pekerja bawah umur dan memastikan majikan mematuhi SOP pengambilan dengan lebih ketat.

“MEF berpandangan bahawa tindakan holistik, bukan hanya penguatkuasaan, diperlukan untuk memastikan kanak-kanak dan remaja tidak terus memasuki pasaran kerja melalui pintu belakang tanpa perlindungan atau masa depan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.