KWSP catat pendapatan pelaburan hampir RM64 bilion setakat September 2025

KWSP catat pendapatan pelaburan hampir RM64 bilion setakat September 2025

Jumlah pendapatan itu meningkat 11% berbanding tempoh sama tahun lalu.

KWSP EPF
KWSP berkata jumlah aset pelaburannya RM1.37 trilion setakat 30 Sept 2025 mewakili pertumbuhan 12% tahun ke tahun.
KUALA LUMPUR:
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan RM63.99 bilion untuk tempoh sembilan bulan berakhir 30 Sept 2025, peningkatan 11% daripada RM57.57 bilion dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu.

Jumlah pendapatan pelaburan bagi suku ketiga 2025 berjumlah RM25.07 bilion, mewakili kenaikan 27% daripada RM19.67 bilion pada suku ketiga 2024, katanya dalam kenyataan.

Menurut KWSP, ekuiti kekal sebagai penyumbang terbesar kepada pendapatan pelaburan pada suku ketiga 2025, menyumbang RM16.95 bilion atau 68% daripada jumlah pendapatan pelaburannya.

Selain itu, pendapatan tetap meneruskan peranannya dalam pemeliharaan modal, menjana RM6.75 bilion atau 27% daripada jumlah pendapatan pelaburan untuk suku tersebut, manakala hartanah dan infrastruktur menyumbang RM1.14 bilion (4.0%) serta instrumen pasaran wang mencatatkan keuntungan RM0.23 bilion (1.0%).

“Daripada jumlah pendapatan pelaburan untuk suku ketiga 2025, RM20.48 bilion dijana untuk simpanan konvensional dan RM4.59 bilion untuk simpanan shariah,” katanya.

KWSP juga berkata, jumlah aset pelaburan RM1.37 trilion setakat 30 Sept 2025, mewakili pertumbuhan 12% tahun ke tahun.

Pelaburan antarabangsa menyumbang kira-kira 39% daripada jumlah aset, disokong penilaian pasaran ekuiti global berdaya tahan.

“Sepanjang suku tersebut, pelaburan antarabangsa menjana RM13.33 bilion, mewakili 53% daripada jumlah pendapatan pelaburan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Ahmad Zulqarnain Onn menekankan bahawa pertumbuhan 11% dalam jumlah pendapatan pelaburan bersama pertumbuhan 12% dalam aset di bawah pengurusan adalah hasil daripada peruntukan aset strategik KWSP, membolehkannya mengambil bahagian dalam pemulihan pasaran ekuiti pasca ‘Liberation Day’.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ketika mengumumkan kadar tarif kepada semua negara pada April lalu menamakan hari tersebut sebagai ‘Liberation Day’.

“Kami didorong oleh kekuatan ekonomi Malaysia yang menyokong 61% portfolio KWSP, pada masa sama meneruskan strategi pelaburan global, menjana 53% daripada jumlah pendapatan pelaburan suku ini,” kata Ahmad Zulqarnain.

Melangkah ke depan, beliau berkata walaupun prestasi dalam tempoh sembilan bulan 2025 sangat menggalakkan, KWSP masih berhati-hati menjelang suku keempat.

“Peningkatan dalam pasaran ekuiti global telah melonjakkan penilaian, manakala isyarat bercampur-campur daripada petunjuk ekonomi global mungkin melambatkan penurunan kadar faedah.

“KWSP secara aktif menguruskan risiko ini dengan mempercepatkan merealisasikan keuntungan yang mungkin sukar pada suku keempat 2025,” katanya.

Sementara itu, 427,329 ahli baharu berdaftar dalam KWSP semasa tempoh sembilan bulan 2025, menjadikan jumlah keahliannya kepada lebih 16.5 juta.

Pada masa sama, pendaftaran majikan baharu meningkat sebanyak 62,401, menambah bilangan majikan aktif yang berdaftar dengan KWSP kepada 628,321.

Pada asas suku tahunan, jumlah caruman meningkat sebanyak 10.5% kepada RM27.84 bilion daripada RM25.20 bilion pada suku keempat 2024.

“Caruman sukarela meningkat sebanyak 47.5% kepada RM15.30 bilion dalam tempoh sembilan bulan 2025 daripada RM10.37 bilion tahun sebelumnya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.