KDN beri kerjasama kepada SPRM berkait insiden KLIA

KDN beri kerjasama kepada SPRM berkait insiden KLIA

Menteri Saifuddin Nasution Ismail berkata kementeriannya tiada halangan untuk SPRM menyiasat dan mengesahkan sama ada dakwaan rasuah benar-benar wujud.

Media sebelum ini melaporkan kekecohan di KLIA melibatkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing didakwa cuba ‘menyelamatkan’ wanita China yang dinafikan kemasukannya ke negara ini. (Gambar Facebook)
SUNGAI PETANI:
Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan rasuah membabitkan kakitangan Jabatan Imigresen.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata kementeriannya tiada halangan untuk SPRM menyiasat dan mengesahkan sama ada dakwaan itu benar-benar wujud atau sebaliknya.

“Tanpa apa-apa halangan, SPRM dipelawa untuk memulakan atau meneruskan siasatan bagi menentu sahkan dakwaan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Ulang Tahun Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) ke-51 peringkat kebangsaan.

Beliau berkata, suruhanjaya itu juga boleh melakukan tugas mereka dengan bebas dan KDN akan memberikan kerjasama sepenuhnya.

Hari ini, media melaporkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim semasa perhimpunan bulanan warga Jabatan Perdana Menteri dipetik sebagai berkata dua agensi bawah KDN iaitu imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sedang disiasat berhubung amalan rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan pegawainya.

Sebuah portal berita sebelum ini melaporkan kekecohan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melibatkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing didakwa cuba “menyelamatkan” seorang wanita warga China yang dinafikan kemasukannya ke negara ini sejurus tiba di KLIA.

Kejadian itu turut tular di media sosial apabila Tiong didakwa masuk ke ruang balai ketibaan tanpa memohon pas keselamatan.

Merujuk insiden di KLIA itu, Saifuddin berkata beliau mengadakan perbincangan dengan Tiong berhubung kejadian tersebut dan akan membawa hasil perbincangan kepada Jemaah Menteri Rabu ini.

Saifuddin berkata, pemeriksaan di pintu masuk negara oleh pegawai dan kakitangan imigresen terhadap pengunjung dari negara asing adalah amalan biasa yang juga dipraktikan kakitangan imigresen di negara lain.

Menurutnya, jumlah pelawat asing yang dikenakan Notis Penolakan Masuk (NTL) juga sangat kecil berbanding jumlah pelawat yang melepasi pemeriksaan imigresen dan dibenarkan masuk ke negara ini.

“Misalnya, pelawat dari China purata bulanan antara 50 hingga 60 orang sahaja, itulah data yang kita ada. Ada juga dari negara lain, tapi keseluruhannya angka yang dikenakan NTL itu sangat kecil,” katanya.

Ditanya sama ada KDN bercadang meluaskan penggunaan kamera badan dalam kalangan pegawai dan kakitangan imigresen bagi mengelakkan sebarang salah laku, beliau berkata buat masa ini pihaknya fokus kepada anggota polis dahulu memandangkan peruntukannya sudah ada.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.