Pekerja Nepal lemas ketika kutip bola golf

Pekerja Nepal lemas ketika kutip bola golf

Mangsa lemas selepas terjatuh ke dalam tasik ketika mengutip bola golf di sebuah kelab golf di Kempas Lama.

Bomba berkata mayat mangsa dijumpai kira-kira 3m dari lokasi terakhir mangsa jatuh ke dalam tasik. (Gambar JBPM)
JOHOR BAHRU:
Seorang lelaki warga Nepal ditemukan lemas selepas disyaki terjatuh ke dalam tasik ketika mengutip bola golf di sebuah kelab golf di Kempas Lama, semalam.

Komander Operasi Balai Bomba Tebrau, Noor Azhan Ahmad berkata Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.38 petang.

“Mangsa yang berusia 27 tahun disyaki terjatuh ke dalam tasik pada  3.50 petang dan ketika kejadian, dia sedang bekerja mengutip bola golf di kawasan tasik tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata pencarian dibuat menggunakan teknik pencarian permukaan dalam radius 3.05 meter sebelum mangsa dijumpai kira-kira 5.39 petang pada jarak 3m dari lokasi terakhir mangsa.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya sambil menambah operasi tamat sepenuhnya pada 6.15 petang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.