Adun Kubu Gajah 3 jam disiasat, 4 telefon bimbit ‘diserah’

Adun Kubu Gajah 3 jam disiasat, 4 telefon bimbit ‘diserah’

Adun PAS Khalil Yahaya dirakam keterangan berhubung hantaran poster Teresa Kok dilantik pengerusi Felda dan 'Tiga Amanat Buat Pejuang Islam'.

Adun Kubu Gajah Khalil Yahaya, berkata telefon bimbitnya dan tiga lagi peranti milik pengendali laman Facebook miliknya diserahkan kepada polis. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis merampas empat telefon bimbit milik Adun Kubu Gajah Khalil Yahaya dan tiga pengendali laman Facebook miliknya bagi membantu siasatan dua kes melibatkan poster palsu Teresa Kok sebagai pengerusi Felda.

Khalil yang juga Adun PAS turut disiasat polis Taiping melibatkan “Tiga Amanat Buat Pejuang Islam” daripada Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Menurut Sinar Harian, sesi rakaman keterangan berlangsung hampir tiga jam apabila beliau dilihat keluar dari pekarangan IPD Taiping sekitar 1.10 petang, selepas hadir pada 9.48 pagi.

Khalil berkata, proses diambil keterangan berjalan sempurna.

“Semuanya berjalan sempurna tanpa ada apa-apa masalah langsung, malah layanan diberikan pegawai sangat profesional, kita diberi minum dan boleh sembang dengan baik,” katanya memetik laporan itu.

Beliau mengakui pengendali akaun Facebooknya telah tersilap memuat naik status berkaitan lantikan Teresa dan hantaran itu telahpun dipadam sebelum membuat satu permohonan maaf.

Pihaknya juga menafikan hantaran tiga amanat yang dikongsi pengguna akaun sosial Migdad Zakaria, minggu lalu merupakan hantaran daripada Facebook miliknya.

“Saya telah membuat satu laporan polis pada 24 Jun lalu di IPD Taiping bagi menafikan perkara ini.

“Buat masa ini, telefon bimbit saya dan tiga lagi pengendali Facebook telah diserahkan kepada polis untuk membantu siasatan,” katanya.

Pada Sabtu, media melaporkan, polis menerima laporan dibuat Teresa yang juga naib pengerusi DAP berhubung poster pelantikannya sebagai pengerusi Felda.

Siasatan polis mendapati berita palsu itu berasal dari laman sosial Facebook Khalil. Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.