
Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Untuk Pendidikan (PAGE), Noor Azimah Abdul Rahim berkata, pelajar tidak patut diberi kepercayaan palsu berhubung pemahaman mereka terhadap sesuatu subjek.
“Kita tidak berlaku adil kepada pelajar,” kata bekas ahli Majlis Penasihat Pendidikan Malaysia itu kepada FMT.
“Sebagai contoh, jika markah lulus Matematik Tambahan hanya 10%, maka ada sesuatu tidak kena dengan sistem. Anda mungkin kelihatan bagus ketika SPM, tetapi anda akan berdepan kesukaran di universiti kerana tidak tahu asas anda,” katanya.
Minggu lalu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menafikan dakwaan purata gred pemarkahan peperiksaan SPM 2022 diturunkan.
Seramai 10,109 calon SPM 2022 mendapat A dalam semua mata pelajaran.
Noor Azimah berkata, Majlis Penasihat Pendidikan Malaysia sudah bertanya kepada “pegawai tertinggi kementerian” berhubung markah lulus bagi mata pelajaran peperiksaan.
“Anda fikir berada dalam majlis itu boleh mempunyai akses kepada beberapa data, tetapi ia adalah rahsia besar.”
Mak Chee Kin, pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa dalam Pendidikan Melaka berkata, ia “rahsia terbuka” ramai pelajar tidak dapat menangani pembelajaran dalam kelas, tetapi mendapat markah lulus dengan mudah, sementara “pelajar biasa-biasa memperoleh A”.
Katanya, sistem penggredan perlu didedahkan “bagi melindungi reputasi Kementerian Pendidikan”.