
Walaupun menyambut baik keputusan menggantung keempat-empat pelajar berkenaan, Maria menggesa mereka hanya boleh menduduki peperiksaan itu selepas perbicaraan tamat, atau dari penjara jika disabitkan kesalahan.
Maria, yang menganggotai NGO Martabat PJ, berkata perbincangan berhubung kebenaran kepada suspek untuk menduduki SPM telah mengalihkan perdebatan dan kesedaran awam daripada ‘satu tindakan keganasan yang sangat dahsyat’.
“Memberi penekanan berlebihan terhadap kebajikan pelaku menghantar mesej yang salah: bahawa pelaku keganasan seksual masih boleh mengharapkan kebajikan mereka dilindungi oleh kerajaan dan bahawa tindakan keganasan tidak menjadi masalah,” katanya kepada FMT.
Beliau menegaskan dalam kes seperti itu, tumpuan harus diberikan kepada mangsa dan kepada perubahan pemikiran untuk menghapuskan keganasan berasaskan jantina.
Maria, mengecam Kementerian Pendidikan (KPM) dua hari lalu kerana melabelkan rogol berkumpulan itu sebagai salah laku seksual dan menyifatkannya sebagai ‘ketidakadilan’, berkata masyarakat juga harus komited memastikan kanak-kanak membesar dengan menghargai nilai hormat dan maruah antara satu sama lain.
Beliau berkata masyarakat sering ‘mengabaikan mangsa’ kerana kurang memahami trauma psikologi, fizikal dan emosi yang dialami akibat keganasan.
“Seseorang tidak akan pernah benar-benar dapat membayangkan apa yang dilalui oleh mangsa, tetapi kita hanya mencadangkan kaunseling seolah-olah ia penyelesaian mutlak,” tambahnya.
Maria menggesa sekolah, KPM, ibu bapa, dan pihak berkepentingan lain bekerjasama untuk menyediakan persekitaran sekolah yang selamat, termasuk melalui sokongan fizikal dan emosi.
Semalam, Ketua Pengarah Pendidikan Azam Ahmad berkata keempat-empat pelajar Tingkatan 5 yang didakwa terlibat dalam rogol berkumpulan seorang pelajar Tingkatan 3 di sebuah sekolah di Melaka telah digantung.
Beliau berkata keputusan itu dibuat oleh lembaga tatatertib sekolah.
KPM sebelum ini dikritik selepas mengumumkan keempat-empat pelajar lelaki itu dibenarkan menduduki peperiksaan SPM, walaupun Azam menegaskan tindakan itu tidak bermakna mereka akan terlepas hukuman atas dakwaan mereka.
Kesalahan itu dilaporkan berlaku sekitar pukul 2.50 petang pada 2 Oktober, ketika mangsa menuju ke bilik darjah untuk mengambil sesuatu. Dua daripada pelajar lelaki itu dilaporkan menonton dan merakam kejadian itu menggunakan telefon bimbit mereka.