Kejayaan SPM berkait literasi awal, kata kumpulan pendidik

Kejayaan SPM berkait literasi awal, kata kumpulan pendidik

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan berkata isu utama menentukan kejayaan SPM ialah penguasaan murid dalam literasi dan numerasi di peringkat sekolah rendah.

pelajar sekolah menengah
Rabu lalu Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata prestasi SPM kekal stabil walaupun UPSR dan PT3 dimansuhkan.
PETALING JAYA:
Kumpulan pendidik mempertahankan kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berhubung isu prestasi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sebalik pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Setiausaha Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon, melihat tiada korelasi antara dua perkara itu kerana isu utama yang menentukan kejayaan SPM adalah penguasaan murid dalam literasi dan numerasi di peringkat sekolah rendah.

“Motivasi berterusan murid sangat penting terhadap subjek STEM (sains, teknologi, kejuruteraan, matematik). Namun, pencapaian rendah setiap kali dalam ujian dan peperiksaan menyebabkan mereka rasa susah dan ini menyebabkan motivasi terhadap STEM ‘mati’ sejak Tahun 4 atau 5.

“UPSR hanya melihat murid cemerlang dan mereka yang kurang cemerlang tidak pernah dipulihkan,” katanya kepada FMT.

Justeru, Fouzi mencadangkan Kementerian Pendidikan (KPM) pertimbang memulakan sekolah vokasional sejak Tingkatan 1 bagi menangani isu pelajar lemah dalam kemahiran asas dan akhirnya gagal mencapai tahap minimum untuk SPM.

“Pada masa sama, KPM perlu melihat semula bagaimana pengurusan sekolah rendah supaya memberi fokus kepada pencapaian literasi dan numerasi serta minat terhadap STEM tidak mati sejak awal lagi,” katanya.

Sementara itu, pakar pendidikan Hasnah Toran dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berpendapat, isu utama dalam pendidikan ialah mentaliti masyarakat yang menganggap ujian lebih penting daripada pengajaran.

“Kita masih lagi fokus kepada ujian seperti skor dan keputusan peperiksaan tetapi tidak melihat mengenai tahap dan kualiti pengajaran. Padahal jika kualiti pengajaran terjaga maka keputusan akan meningkat secara semula jadi.

“Jika KPM melaporkan keputusan SPM adalah stabil, kita bersangka baik dan beri ruang kepada mereka untuk fokus pada pengajaran serta isu seperti kualiti guru, kurikulum 2027 dan infrastruktur pendidikan,” katanya.

Manakala, Noor Azlan Ahmad Zanzali dari Universiti Muhammadiyah Malaysia berkata, pemansuhan UPSR dan PT3 menunjukkan hala tuju yang positif kerana ia menggantikan sistem penilaian lama dengan pendekatan lebih baik.

“Yang mansuh bukan bermakna kita abai terus tetapi gantikan kepada sistem lebih berkesan seperti penilaian berasaskan bilik darjah bagi membantu mengenal pasti kekuatan dan kelemahan murid.

“Dan peperiksaan SPM pula dikekalkan sebagai penilaian akhir sebelum melangkah ke alam dewasa,” katanya.

Rabu lalu, Wong dilaporkan berkata prestasi SPM kekal stabil walaupun UPSR dan PT3 dimansuhkan, berdasarkan analisis keputusan dua tahun berturut-turut iaitu pada 2023 dan 2024.

Katanya, Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) yang menggantikan UPSR dan PT3 kekal berpandukan spesifikasi dan standard ditetapkan lembaga peperiksaan, membolehkan guru menilai prestasi murid secara menyeluruh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.