
Fernando Casal Bertoa dari Universiti Nottingham berkata undang-undang pembiayaan politik perlu disokong pembaharuan institusi untuk berjaya.
Beliau yang mengkaji pembiayaan politik dan peraturan parti berkata, Malaysia perlu memperkenalkan undang-undang baharu untuk parti politik, bukannya bergantung kepada Akta Pertubuhan dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.
Katanya, parti politik tidak patut dilayan seperti NGO atau kumpulan masyarakat sivil kerana fungsi mereka berbeza.
Menurutnya, negara lain sudah mempunyai undang-undang mengawal parti politik.
Beliau memberi contoh Taiwan mempunyai undang-undang khusus bagi mewujudkan persekitaran adil dan berdaya saing untuk parti politik, selain memastikan organisasi dan operasi parti politik mematuhi prinsip demokrasi serta proses politik berasaskan parti yang sihat dan kuat.

“Bahkan, ia mungkin membawa kepada pembaharuan Perlembagaan kerana banyak negara di dunia mewajibkan parti politik mengikut prinsip Perlembagaan, dengan ada yang mempunyai prinsip demokrasi dalaman dan ketelusan (untuk parti politik),” katanya kepada FMT.
Gesaan untuk pembaharuan institusi, termasuk rancangan antirasuah kebangsaan dan undang-undang mengawal pembiayaan politik, pernah dibangkitkan kumpulan reformasi pilihan raya, Bersih dan Pakatan Harapan (PH).
Tetapi, kerajaan perpaduan pimpinan PH didakwa melengahkan pelaksanaannya, dengan Bersih menuduh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim tidak menjelaskan komitmennya melaksanakan pembaharuan dijanjikan.
Mei lalu, Dewan Rakyat diberitahu draf cadangan Rang Undang-undang Pendanaan Politik akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi perbincangan dan semakan.
Bertoa berkata, undang-undang pembiayaan politik perlu dikaji semula dari semasa ke semasa selepas dilaksanakan bagi memastikan ia relevan.
“Kita perlu menggubal undang-undang terbaik supaya ia tidak perlu diperbaharui dalam dua atau tiga tahun, tetapi dalam tujuh atau lapan tahun anda perlu menyemaknya semula. Ia bergantung kepada konteks dan cara parti politik mematuhi undang-undang pembiayaan politik.”