KDN semak 73 kesalahan di bawah Sosma

KDN semak 73 kesalahan di bawah Sosma

Menteri Saifuddin Nasution Ismail kata semakan selaras arahan Jemaah Menteri yang mahu Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) disemak.

Saifuddin Nasution Ismail
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata kementerian juga mengkaji semula Seksyen 30 Sosma yang mendapat perhatian dalam pelbagai sesi libat urus.
PETALING JAYA:
Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang meneliti 73 kesalahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau Sosma dalam usaha transformasi akta berkenaan, kata menterinya, Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin berkata langkah itu selaras dengan arahan Jemaah Menteri yang mahu KDN melakukan semakan terhadap akta tersebut, lapor Bernama.

“Kita sekarang sedang meneliti 73 kesalahan itu dan apakah sejumlah kesalahan yang akan kita cadangkan boleh diikat jamin dengan memulangkan kuasa itu kepada mahkamah.

“Ini satu anjakan yang penting buat kita dan beberapa pemegang taruh lain,” katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama media di Putrajaya.

Beliau berkata kementerian juga mengkaji semula Seksyen 30 Sosma yang mendapat perhatian dalam pelbagai sesi libat urus.

“Seksyen 30 Sosma mengatakan selama kamu itu ditahan melepasi 28 hari, dituduh ke mahkamah dan dibicara di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

“Sehingga proses itu selesai, seorang yang ditahan itu tetap berada dalam penjara. Ini juga seksyen yang melalui libat urus kita dan menunjukkan banyak pandangan yang mengatakan ada kewajaran (semakan),” katanya.

Saifuddin juga berkata kerajaan perpaduan komited melakukan transformasi terhadap akta berkenaan serta melindungi hak asasi setiap individu.

Sosma berkuat kuasa pada 2012 di bawah pentadbiran Najib Razak selepas Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan.

Di bawah Sosma, pegawai polis boleh menangkap dan menahan individu yang dipercayai terlibat dalam kesalahan keselamatan tanpa waran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.