Pesara diarah tak bawa sepanduk sentuh 3R, parti politik

Pesara diarah tak bawa sepanduk sentuh 3R, parti politik

Penganjur perhimpunan besar-besaran dijadualkan 31 Mei ini mahu semua slogan hanya berkaitan tuntutan pencen.

pesara tentera
Kira-kira 10,000 pesara dijangka berhimpun di Dataran Merdeka Sabtu depan bagi membantah kegagalan kerajaan mematuhi perintah mahkamah dan menyelaras semula pencen mereka.
PETALING JAYA:
Pesara menyertai perhimpunan besar-besaran di Dataran Merdeka 31 Mei ini diarahkan tidak membawa sepanduk berunsur hasutan atau rujukan kepada agama, kaum dan institusi diraja, yang dikenali 3R.

Dalam mesej WhatsApp kepada peserta, jurucakap Rafique Ahmad mengingatkan mereka mengelak menyuarakan sokongan atau bantahan terhadap mana-mana parti politik, sama ada melalui sepanduk, slogan atau cara lain.

Beliau berkata, sepanduk hanya berkaitan semakan pencen seperti diperintahkan Mahkamah Persekutuan dan gesaan untuk kerajaan menarik balik rayuannya terhadap perintah seterusnya Mahkamah Tinggi yang memerlukan semakan itu dilaksanakan.

“Bagi pesara daripada angkatan tentera, tuntutan kami supaya pencen disemak dan ditangguhkan bagi semua yang bersara sebelum 2013, mengiktiraf bekas tentera sebagai veteran secara rasmi dan bantuan bulanan khas RM500 buat veteran tidak berpencen diberikan tanpa syarat.”

Rafique turut meminta peserta tidak membawa sepanduk mengandungi karikatur ahli politik atau pemimpin kerajaan kerana perhimpunan ini bukan untuk mencetuskan provokasi terhadap mana-mana individu atau parti politik.

Menurutnya, penganjur akan memastikan peserta, yang dijangka berjumlah kira-kira 10,000 orang pada hari itu, berdisiplin dan mematuhi arahan. Peserta juga dinasihatkan membawa beg sampah sendiri bagi mengelakkan kawasan berkenaan kotor.

“Menjaga kawasan itu sebersih mungkin dan tidak mengganggu sebarang aktiviti perniagaan paling penting.”

Kira-kira 10,000 pesara terdiri daripada bekas penjawat awam dan veteran tentera dijangka berhimpun di Dataran Merdeka 31 Mei ini bagi membantah tindakan kerajaan mencabar perintah Mahkamah Tinggi untuk menyemak serta menangguhkan pembayaran pencen mereka.

Pada 3 Mei lalu, Rafique dilaporkan berkata, polis Dang Wangi membalas notis perhimpunan aman dengan mengatakan mereka telah mengambil maklum mengenai rancangan itu dan ‘tidak menyuarakan sebarang bantahan’.

Tetapi, polis mengingatkan penganjur bahawa mereka diberi kuasa mengambil sebarang tindakan yang difikirkan sesuai sepanjang perhimpunan itu bagi memastikan ia berjalan lancar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.