
Andy Hall, yang memperjuangkan hak asasi pekerja asing, berkata tiada usaha murni Putrajaya untuk memastikan pelbagai rancangan dilaksanakan bagi membendung buruh paksa dan pemerdagangan manusia yang mencapai kejayaan di lapangan.
Hall secara khusus merujuk Pelan Tindakan Kebangsaan Antipemerdagangan Orang baru-baru ini, Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan dan Pelan Tindakan Nasional Buruh Paksa.
“Bagi saya ini (pelan tindakan) kebanyakannya hanya janji atas kertas. Mereka bercita-cita tinggi, tetapi saya tidak nampak aspirasi dan komitmen oleh kerajaan Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini menjadi kenyataan,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, peningkatan terbaharu itu tidak menggambarkan realiti di lapangan kerana ada isu mendesak yang belum ditangani kerajaan baharu, termasuk eksploitasi dan rasuah dalam sistem pengambilan pekerja asing, semakin ramai majikan palsu dan ejen tenaga kerja Malaysia yang teruk.
“Ini nampak seperti keputusan politik AS,” katanya sambil menyatakan hubungan rapat Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dengan Washington dan naratif pentadbiran bahawa perubahan positif sedang dilakukan.
“(Keputusan demikian) membimbangkan kerana ia mengurangkan integriti dan rasa hormat yang anda berikan kepada sistem ranking pemerdagangan manusia yang kononnya objektif.”
Jumaat lalu, Malaysia naik semula ke Tahap 2 daripada Tahap 3 dalam senarai pemerhatian pemerdagangan manusia AS. Malaysia di Tahap 2 antara 2018 dan 2020, tetapi jatuh ke peringkat terendah Tahap 3 pada 2021.
Adrian Pereira dari Inisiatif Utara-Selatan (NSI) yang senada dengan Hall berkata, kesan kenaikan ranking itu belum dirasai kerana keadaan “masih teruk”.
“NSI baru-baru ini mendedahkan isu pekerja asing datang dengan permit, tetapi tidak diberikan pekerjaan sebenar,” katanya kepada FMT sambil menambah ada beberapa kes pekerja terkandas di negara ini tanpa pekerjaan selepas membayar puluhan ribu ringgit untuk ke sini.
Pereira turut mengkritik cara Putrajaya menangani penipuan pekerjaan membabitkan pekerja asing.
“Mengapa mereka masih dilayan sebagai pelaku (jenayah) dan bukannya (mangsa)? Mereka tidak diberi peluang untuk mendapat keadilan.”
Beliau mendakwa Washington “dipaksa” menaik taraf kedudukan Malaysia bagi mengelak negara diletakkan pada Tahap 3 buat tahun ketiga berturut-turut, yang akan dikenakan sekatan akan menghalang bantuan AS sampai ke Malaysia.
“Terdapat projek besar di Malaysia yang dilabur kerajaan AS dan (mereka) akan terpaksa menghentikannya.”