
Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Rahman Sebli membenarkan rayuan oleh ahli perniagaan Junaidah Leman, anak lelakinya Fairuz Roslan dan syarikat mereka, Triple Zest Trading & Suppliers Sdn Bhd.
Panel itu memutuskan Mahkamah Rayuan terkhilaf dari segi undang-undang.
“Kami sebulat suara membenarkan rayuan dan memerintahkan kos sebanyak RM60,000,” kata Rahman, yang bersidang bersama Hakim Hasnah Hashim dan Nordin Hassan.
Junaidah, 61, Fairuz dan syarikat mereka terlibat dalam perniagaan perdagangan minyak and bercadang mendirikan stesen minyak di atas sebidang tanah.
Mereka mendapatkan bantuan Shamshuri Johar, yang membantu mendapat pinjaman daripada Applied Business Technologies Sdn Bhd, iaitu responden dalam rayuan itu.
Junaidah, Fairuz dan Triple Zest Trading mencagarkan dua bidang tanah untuk pinjaman itu sebelum wang dipindahkan ke sebuah syarikat di Singapura atas arahan Shamsuri.
Applied Business Technologies memfailkan saman pada 2018 dengan menuntut RM1.6 juta, merangkumi jumlah pokok sebanyak RM800,000 dan tambahan RM800,000 bagi “keuntungan dipersetujui” untuk dibayar dalam tempoh sebulan.
Junaidah, Fairuz dan Triple Zest ketika itu dinamakan sebagai defendan.
Pada 2020, Mahkamah Tinggi Ipoh membuat keputusan memihak kepada Applied Business Technologies.
Tiga defendan berkenaan kemudian memfailkan rayuan, dan pada tahun berikutnya Mahkamah Rayuan memerintahkan supaya mereka membayar semula jumlah pokok kepada Applied Business Technologies berjumlah RM800,000.
Junaidah, Fairuz dan Triple Zest kemudian memfailkan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.
Terdahulu, peguam mereka Hong Chong Hang berhujah bahawa perjanjian pinjaman itu menyalahi undang-undang. Menurutnya, Applied Business Technologies tiada lesen untuk meminjamkan wang, dan undang-undang tidak membenarkan peminjam mengenakan faedah pada kadar 100% untuk dibayar dalam tempoh sebulan.
Hong berkata, mengikut Akta Pemberi Pinjam Wang, kadar faedah maksimum yang boleh dikenakan setahun hanya 12% bagi pinjaman bercagar, dan 18% bagi pinjaman tidak bercagar.
Hong dibantu Koay Jing Qian, manakala Ahmad Hazrin Abdul Rahman dan Muzamil Alif Mohamad mewakili Applied Business Technologies.