Bekas exco Perak Paul Yong mohon semakan semula sabitan rogol

Bekas exco Perak Paul Yong mohon semakan semula sabitan rogol

Beliau mendakwa wujud ketidakadilan prosedur ketika Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukumannya.

Paul Yong Choo Kiong
Paul Yong, yang telah menggunakan semua peluang rayuan terhadap sabitan kes rogol pembantu rumahnya enam tahun lalu, kini mahu Mahkamah Persekutuan menyemak semula keputusan pada 1 Oktober. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Bekas ahli exco Perak Paul Yong, yang gagal dalam rayuan terakhir terhadap sabitan kes rogol pembantu rumah warga Indonesia enam tahun lalu, kini memohon Mahkamah Persekutuan menyemak semula keputusan tersebut.

Yong, yang sedang menjalani hukuman penjara lapan tahun serta dua sebatan, memfailkan permohonan itu di bawah Kaedah 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995, bagi membolehkan kesnya didengar semula oleh panel hakim berbeza.

Dalam permohonan dikemukakan firma guaman Rajpal, Firah & Vishnu minggu lalu, Yong mendakwa keputusan Mahkamah Persekutuan pada 1 Okt lalu yang mengekalkan sabitan dan hukumannya — tidak adil dari segi prosedur.

Melalui afidavit sokongan, beliau berkata peguamnya memaklumkan mahkamah tertinggi itu telah menyimpang daripada tafsiran undang-undang sedia ada berkaitan Seksyen 182A Kanun Tatacara Jenayah, tanpa memberi peluang kepada pasukan pembelaan untuk berhujah.

Katanya, tindakan itu mengakibatkan ketidakadilan terhadap dirinya.

Yong juga menegaskan mahkamah tertinggi berkenaan bergantung pada kes Sathya Vello lwn Pendakwa Raya (2022) — yang kemudiannya dibatalkan semula dalam semakan lain — dan gagal mempertimbangkan hujahan pihak pembela mengenai tafsiran sebenar Seksyen 182A tersebut.

Selain itu, beliau berkata Mahkamah Rayuan, yang sebelum ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi menerusi keputusan majoriti, tidak mengambil kira kenyataannya kepada polis di bawah Seksyen 112, yang dirakam dua hari selepas kejadian didakwa berlaku.

Yong mendakwa kenyataan itu sepatutnya menyokong pembelaannya.

Menurut Yong, keadaan itu menyebabkan ketidakadilan serius dan menjejaskan hak perlembagaannya untuk hidup dan bebas (Perkara 5) serta hak mendapat layanan sama rata di sisi undang-undang (Perkara 8).

Panel Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara Wan Ahmad Farid Wan Salleh, bersama Hakim Nordin Hassan dan Hanipah Farikullah, sebelum ini menegaskan sabitan terhadap Yong adalah kukuh, dan memerintahkannya memulakan hukuman penjara serta-merta.

Wan Ahmad Farid berkata mahkamah-mahkamah sebelum ini benar menilai keterangan mangsa warga Indonesia itu sebagai saksi yang boleh dipercayai.

Pada 22 Julai 2022, Mahkamah Tinggi mendapati Yong bersalah merogol wanita berusia 23 tahun itu di rumahnya di Ipoh, antara jam 8.15 malam dan 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

Keputusan itu dikekalkan oleh dua hakim Mahkamah Rayuan — Hakim Hadhariah Syed Ismail dan Hakim Azman Abdullah — manakala Hakim S Komathy berbeza pendapat dan berpihak kepada pembelaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.