Kuasa mahkamah semak keputusan lembaga pengampunan diputus 12 Nov

Kuasa mahkamah semak keputusan lembaga pengampunan diputus 12 Nov

Pendakwaan berpendapat Mahkamah Persekutuan tiada bidang kuasa dengar permohonan tiga banduan di bawah undang-undang sementara tahun lalu.

istana kehakiman Federal Court
Pada Ogos tahun lepas, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa hukuman penjara 30 tahun yang diringankan ke atas 3 banduan bagi kesalahan edar dadah hendaklah bermula dari tarikh mereka ditahan.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan akan memutuskan pada 12 Nov sama ada untuk mengetepikan keputusan satu lagi panel mahkamah tertinggi, yang tahun lalu memutuskan ia mempunyai bidang kuasa untuk menyemak semula perintah terhadap tiga banduan yang diampunkan.

Panel lima hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Wan Ahmad Farid Wan Salleh menangguhkan keputusan ke minggu hadapan selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan peguam bagi ketiga-tiga responden.

Rayuan itu turut didengar oleh Presiden Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais, Hakim Besar Malaya Hasnah Hashim, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Azizah Nawawi dan hakim Mahkamah Rayuan yang dipilih bersama, Ruzima Ghazali.

Pada 27 Ogos 2024, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa hukuman penjara 30 tahun yang diringankan ke atas tiga banduan – G Jiva, 56; warga Thailand Phrueksa Thaemchim, 42 dan; warga Zambia Mailesi Phiri, 48 – bagi kesalahan mengedar dadah harus bermula dari tarikh mereka ditahan.

Dengan keputusan itu, panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Harmindar Singh Dhaliwal, yang kini telah bersara, membatalkan perintah Lembaga Pengampunan Kedah, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan yang menetapkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh hukuman mati ketiga-tiga banduan itu diringankan.

Hakim lain yang bersidang dalam panel itu ialah Hanipah Farikullah dan Nordin Hassan. Nordin bagaimanapun menentang keputusan majoriti.

Pihak pendakwaan kemudian memfailkan permohonan semakan, dengan alasan bahawa hakim majoriti bertindak di luar bidang kuasa mereka di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 (Akta 847) apabila menyemak keputusan lembaga pengampunan.

Pada 10 Sept, dalam keputusan 4-1, Mahkamah Persekutuan memutuskan pihak pendakwaan melepasi ambang untuk mendapatkan kebenaran di bawah Aturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

Hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin berhujah bahawa keputusan majoriti tahun lepas mesti diketepikan kerana Mahkamah Persekutuan tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan ketiga-tiga mereka di bawah undang-undang sementara itu.

Beliau berkata, hanya mereka yang hukuman matinya ditukar kepada pemenjaraan sepanjang hayat (kekal di penjara sehingga mati) oleh lembaga pengampunan boleh memohon kepada Mahkamah Persekutuan agar hukuman itu digantikan dengan hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun bagi kesalahan serius.

Katanya, Mahkamah Persekutuan tidak sepatutnya mendengar permohonan ketiga-tiga banduan itu kerana hukuman mati mereka telah digantikan dengan pemenjaraan seumur hidup.

Turut tampil bagi pihak pendakwaan ialah Timbalan-timbalan Pendakwa Raya Tetralina Ahmed Fauzi, Solehah Noratikah Ismail dan Arif Aizuddin Masrom.

Peguam K Simon Murali, yang mewakili Phrueksa, menggesa panel hakim untuk menggunakan doktrin tafsiran harmoni bagi mencapai interpretasi Akta 847 yang adil dan saksama.

Beliau berkata, mereka yang diampunkan dan dikenakan hukuman pemenjaraan sepanjang hayat berhak memohon kepada mahkamah supaya ia digantikan dengan hukuman pemenjaraan seumur hidup di bawah Akta 847.

Murali berkata, hak dan kelayakan yang sama harus diberikan kepada banduan akhir yang diampunkan.

“Tafsiran harmoni ini akan memastikan prinsip kesamarataan di bawah Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan terpelihara,” katanya.

Peguam N Sivananthan yang mewakili Jiva dan Abdul Rashid Ismail yang bertindak untuk Mailesi turut menerima pakai hujah Murali.

Ketika prosiding, Abu Bakar (Presiden Mahkamah Rayuan) mencadangkan agar ketiga-tiga mereka kembali ke lembaga pengampunan masing-masing dan memfailkan permohonan agar hukuman penjara mereka bermula dari tarikh tangkapan.

Beliau berkata, mereka boleh memfailkan permohonan baharu jika gagal mendapatkan remedi di hadapan lembaga pengampunan.

Bagaimanapun, Murali berkata, anak guam mereka tidak akan dapat kembali ke mahkamah, kerana Akta 847 hanya memberi mereka satu peluang untuk remedi undang-undang.

“Mereka tidak lagi boleh mengambil jalan perundangan untuk mencabar keputusan lembaga pengampunan kerana undang-undang kes menyatakan ia tidak boleh diadili,” katanya.

Pada pendengaran sebelum ini, didedahkan bahawa kira-kira 120 banduan lain berdepan nasib sama seperti ketiga-tiga pemohon dalam kes ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.