
Timbalan Menteri Kerja Raya, Abdul Rahman Mohamad berkata, berlaku saingan mendapatkan projek ketika kerajaan memperuntukkan kira-kira RM99 bilion untuk sektor pembinaan tahun ini.
Katanya, terlalu banyak lesen dikeluarkan untuk kontraktor.
“Dianggarkan terdapat lebih 160,000 kontraktor kelas G1 hingga G7 ketika ini, dengan 46,000 daripadanya kontraktor untuk kelas G1 sahaja,” katanya menurut Bernama.
Kontraktor kelas G1 boleh memohon projek bernilai sehingga RM200,000, manakala G2 dihadkan untuk tender berjumlah RM500,000. Had siling tender untuk kelas lain adalah RM1 juta (G3), RM3 juta (G4), RM5 juta (G5) dan RM10 juta (G6).
Tiada had tender untuk kelas tertinggi G7.

“Kita bimbang ada kontraktor yang begitu lama tidak mendapat projek, khususnya G7, sedangkan mereka mempunyai kakitangan yang ramai, mesin dan kos lain,” kata Rahman.
Beliau berkata, PKMM mencadangkan had ditetapkan bagi pengeluaran lesen kontraktor baharu dan langkah pemutihan dilakukan bagi mengenal pasti kontraktor bermasalah.
“Saya berpendapat pandangan mereka baik dan kita akan cuba usulkan supaya cadangan ini dipertimbangkan Kementerian Kewangan, selain beberapa perkara berbangkit lain.”