RM449 juta untuk siapkan MEX II, kata Nanta

RM449 juta untuk siapkan MEX II, kata Nanta

Menteri kerja raya berkata jumlah itu mungkin meningkat kerana projek itu dibiarkan terbengkalai untuk tempoh yang lama.

MEX Highway bernama 030525
Kerja-kerja MEX II, sambungan sepanjang 16.8km yang menghubungkan persimpangan MEX Putrajaya ke lebuh raya KLIA, bermula pada 2016 tetapi terhenti selepas konsesi berkenaan menghadapi masalah aliran tunai yang serius. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kira-kira RM449 juta diperlukan untuk menyiapkan projek Sambungan Lebuhraya Maju Expressway (MEX II) yang lama terbengkalai dan bergelut dengan masalah kewangan sejak bertahun-tahun.

Dalam jawapan Parlimen, Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi berkata angka itu diberikan oleh pihak penerima dan pengurus yang dilantik oleh pemegang sukuk selepas mereka mengeluarkan notis ingkar kepada syarikat konsesi pada Januari 2022.

Beliau berkata kos sebenar mungkin kini lebih tinggi kerana projek lebuh raya itu telah dibiarkan terbengkalai untuk tempoh yang lama dan memerlukan kerja-kerja pembaikan serta kos-kos lain yang berkaitan.

Nanta berkata kerajaan masih tidak putuskan bilakah projek itu dapat disiapkan atau berapakah kadar tol yang akan dikenakan kerana penerima dan pengurus masih menyediakan cadangan penuh terkini meliputi aliran tunai, kos pembiayaan, analisa kajian trafik, tempoh konsesi dan kadar tol bagi memastikan projek itu berdaya maju.

“Kita belum dapat putuskan tarikh siap atau kadar tol memandangkan kita masih menunggu cadangan penuh terkini daripada penerima dan pengurus,” katanya bagi menjawab soalan Yeo Bee Yin (PH-Puchong) yang minta penjelasan jumlah kos dan jangkaan tarikh siap projek itu.

Kerja-kerja MEX II, sambungan sepanjang 16.8km yang menghubungkan persimpangan MEX Putrajaya ke lebuh raya KLIA, bermula pada 2016 tetapi terhenti selepas konsesi berkenaan menghadapi masalah aliran tunai yang serius.

Sejak itu, projek tersebut menjadi subjek siasatan dan prosiding mahkamah berhubung dakwaan tuntutan palsu serta penyelewengan dana.

Pada September lalu, Pengarah Maju Holdings Abu Sahid Mohamed didakwa atas pertuduhan pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram membabitkan ratusan juta ringgit berkaitan projek MEX II.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.