
Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Azman Ibrahim berkata, draf utama bagi pelaksanaan MLFF telah disediakan, namun rundingan dengan syarikat konsesi lebuh raya tidak dapat dimulakan selagi tiada keputusan daripada Jemaah Menteri.
“Kami tidak mahu mereka (syarikat konsesi) berpaling dan menuduh kami mendahului proses yang sepatutnya. Jadi, itu antara sebabnya,” katanya kepada PAC dalam prosiding pada 20 Mei, seperti yang direkodkan dalam laporan terbaharu jawatankuasa itu mengenai projek itu.
“Kedua, dari segi garis masa pelaksanaan, mengambil kira masa untuk rundingan, proses permintaan untuk cadangan (RFP) oleh syarikat konsesi, dan keperluan untuk kami menubuhkan sebuah badan kawal selia bagi memantau keseluruhan pelaksanaan, secara realistiknya, pelaksanaan hanya boleh dijangka berlaku selewat-lewatnya pada tahun 2027.”
Azman turut memaklumkan bahawa kerangka undang-undang bagi sistem MLFF sudah wujud di bawah perundangan sedia ada, namun beberapa peraturan tambahan perlu diperkenalkan bagi memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan.
Di bawah sistem MLFF, semua laluan keluar dan masuk lebuh raya akan ditukar kepada lorong tanpa halangan bagi mengurangkan kesesakan dan melancarkan aliran trafik.
Sistem ini merupakan sebahagian daripada Pelan Induk ITS Malaysia (2019-2023), yang bertujuan memodenkan infrastruktur lebuh raya negara.
Namun begitu, PAC sebelum ini telah memberi amaran MLFF semata-mata tidak akan menyelesaikan isu kesesakan lebuh raya.
PAC juga menegaskan tiada perjanjian berimpak tinggi dimeterai semasa tempoh kerajaan sementara, dan menggesa supaya keputusan masa depan memastikan tiada beban kewangan ditanggung oleh kerajaan mahupun pengguna jalan raya.
Tiada kenaikan tol, tiada pembiayaan kerajaan
Azman turut mengesahkan bahawa pelantikan terdahulu syarikat usaha sama KJS-SEP Synergy JV bagi melaksanakan MLFF telah luput pada Disember 2024 setelah gagal mendapat persetujuan daripada pengendali lebuh raya sedia ada.
Beliau berkata sebarang pelaksanaan pada masa depan mestilah dipacu sepenuhnya oleh syarikat konsesi tanpa sebarang pembiayaan daripada kerajaan.
Azman turut menjelaskan kadar tol tidak boleh dinaikkan susulan pelaksanaan MLFF.