
Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia, Law Teik Hua, berkata cukai itu boleh membantu Kementerian Kerja Raya (KKR) mengimbangi beban kos baik pulih jalan raya yang dianggarkan mencecah RM4 bilion setahun.

“Langkah ini perlu dilaksanakan bersama mekanisme penguatkuasaan lebih ketat, seperti pemasangan alat pemberat di lokasi strategik dan memastikan kenaikan cukai tidak dibebankan kepada pengguna akhir.
“Dana yang dikutip juga perlu diurus dengan telus serta diaudit,” katanya kepada FMT.
Katanya, syarikat pengangkutan yang melanggar had muatan juga perlu dikenakan tindakan tegas, termasuk denda yang lebih tinggi dan lesen digantung bagi kes berulang.
“Pelaksanaan prinsip ‘polluter pays’ (pencemar kena bayar) boleh dipertimbangkan, dan denda yang dikenakan disalurkan terus ke dalam tabung penyelenggaraan jalan.
“Selain itu, sistem senarai hitam untuk syarikat yang sering melanggar peraturan muatan perlu diperkenalkan bagi mengurangkan kesalahan berulang,” katanya.
Law berkata, bagi menggalakkan budaya kepatuhan, kerajaan juga boleh memberi insentif seperti rebat cukai atau pengiktirafan kepada syarikat yang mematuhi peraturan.
Bagi mengurangkan kadar kerosakan jalan raya akibat muatan berat, Law turut mencadangkan KKR menggunakan teknologi lebih tahan lasak, seperti geosynthetic atau aspal modifikasi dalam pembinaan jalan.

Pengasas badan pemikir pengangkutan My Mobility Vision, Wan Agyl Wan Hassan mencadangkan levi khas atau cukai guna jalan untuk kenderaan berat seperti yang diamalkan di Jerman, Switzerland dan New Zealand.
Katanya, levi khas atau cukai guna jalan dikira mengikut berat dan jarak perjalanan yang bakal ditempuhi kenderaan berat.
“Kemudian hasil cukai itu dimasuk ke dalam satu dana penyelenggaraan jalan dan hanya digunakan oleh KKR untuk pembaikan atau menyelenggara jalan.
“Semua hasil daripada saman pelanggaran had muatan juga perlu dimasukkan terus ke dalam dana ini dan tidak diserap masuk ke dalam Kumpulan Wang Disatukan kerajaan persekutuan,” katanya.
Wan Agyl berkata ini penting untuk memastikan hasil daripada pelanggaran digunakan terus untuk membaiki kerosakan berpunca daripada kenderaan berat.
“Tanpa mekanisme sebegini, KKR akan terus dibebani kos membaiki jalan dengan dana yang tidak mencukupi, manakala hasil kutipan pelanggaran (kenderaan berat) hanyut ke dalam belanjawan umum.
“Cukai ini bukan bermaksud menghukum industri logistik tetapi ia bagi mengelak sistem terus menzalimi jalan raya dengan menindas kepentingan awam dan rakyat terpaksa membiayainya melalui cukai biasa,” katanya.
Rabu lalu, KKR mengakui ia berdepan kekangan kewangan untuk baik pulih serentak jalan berisiko di seluruh negara, termasuk Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli kerana kosnya mencecah RM4 bilion.
Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi sebelum ini turut mengakui punca utama berlaku kerosakan jalan terutamanya berlubang disebabkan kenderaan berat yang membawa lebih muatan.