
Tiong berkata, kawasan itu sedang mengalami pembangunan pesat, yang kebanyakannya berada di luar kawalan pihak Genting.
“Setahu kami, ia jalan persendirian. Semua kerja selenggara dilakukan oleh Genting Group. Demi kelestarian (operasi), mereka tiada pilihan (selain mengenakan caj),” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani MoU antara Resorts World Genting dan Tourism Malaysia bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Tiong berkata demikian ketika ditanya bagaimana cadangan caj di Jalan Genting Highlands itu mungkin menjejaskan pelancongan di kawasan tersebut.
Ketika mengumumkan rancangannya, Genting berkata, caj itu perlu kerana kos menyelenggara jalan persendirian sepanjang 24km itu, yang ditanggung syarikat tersebut sejak 1960an, semakin meningkat.
Langkah itu menerima reaksi bercampur-aduk, dengan Kementerian Kerja Raya menggesa syarikat itu agar memastikan pengecualian untuk kenderaan yang masuk bagi tujuan riadah, dan tidak mengenakan caj kepada semua pengguna jalan raya.
Menurut Tiong, aliran trafik yang tinggi di sepanjang laluan itu serta hakisan tanah turut menyumbang kepada kos penyelenggaraan yang lebih tinggi.
“Memang terlalu ramai orang yang masuk guna jalan itu, dan terlalu banyak kenderaan berat. Jadi sudah tentu ada kosnya. Saya faham pendirian mereka,” katanya.
Tiong berkata model ‘pengguna bayar’ akan diguna pakai, tetapi menegaskan bahawa Genting mesti memastikan caj yang dikenakan adalah adil dan telus.
“Jika ada orang kerap mengunjungi tempat seperti kasino, saya rasa tol itu tidak sepatutnya jadi beban kepada mereka,” katanya.