Malaysia bukan lagi pada tahap terendah laporan pemerdagangan orang

Malaysia bukan lagi pada tahap terendah laporan pemerdagangan orang

Laporan oleh Jabatan Negara AS itu bagaimanapun berkata, masalah pemerdagangan orang masih menjadi kebimbangan bagi Malaysia.

Malaysia kembali berada pada Tahap 2 selepas dua tahun berada pada Tahap 3, terendah dalam laporan TIP Amerika Syarikat.
PETALING JAYA:
Malaysia tidak lagi berada pada tahap terendah dalam Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat mengenai Pemerdagangan Orang (TIP), naik daripada Tahap 3 Pemerhatian kepada Tahap 2.

Menurut laporan yang dikeluarkan malam tadi itu, pemerdagangan orang dan operasi penipuan siber masih menjadi kebimbangan bagi Malaysia kerana dalangnya mengeksploitasi pengangguran yang berleluasa semasa dan selepas wabak Covid-19.

Malaysia diletakkan pada Tahap 2 Pemerhatian dari 2018 hingga 2020 sebelum jatuh ke Tahap 3, iaitu tahap terendah, pada 2021 sehingga tahun lepas.

Jabatan Negara AS meletakkan setiap negara dalam tiga tahap berdasarkan sejauh mana tindakan kerajaan untuk memerangi pemerdagangan orang dan betapa berleluasanya masalah itu di negara berkenaan.

Laporan itu berkata, Malaysia antara negara di Asia Tenggara menjadi “pusat penipuan”, di mana pekerja Afrika Timur dan Asia ditempatkan selepas dijanjikan pekerjaan lumayan di tempat lain di rantau ini.

“Pasport mangsa dirampas dan mereka mengalami keganasan fizikal dan seksual.

“Pemerdagang memaksa mangsa untuk menipu orang yang tidak dikenali dalam mata wang kripto dan penipuan percintaan dalam talian serta operasi perjudian haram,” menurut laporan itu.

Negara dalam senarai Tahap 1 menunjukkan bahawa kerajaan mengakui kewujudan pemerdagangan manusia dan berusaha untuk menangani masalah itu.

Manakala negara dalam senarai pemantauan Tahap 2 pula diklasifikasikan sebagai tidak memenuhi piawaian minimum Akta Perlindungan Mangsa Pemerdagangan AS 2000 tetapi sedang berusaha untuk mematuhinya.

Tahap 3 ialah negara yang kerajaannya tidak sepenuhnya memenuhi piawaian minimum terhadap penghapusan pemerdagangan dan tidak melakukan usaha yang ketara untuk berbuat demikian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.