
Beliau berkata ramai daripada pembela hak asasi ini terus berdepan gangguan, ancaman, penahanan, malah ada yang kehilangan nyawa hanya kerana melaksanakan tugas mereka.
“Individu-individu ini — wartawan, peguam, pemimpin komuniti orang asli, aktivis hak wanita dan pejuang alam sekitar — bukan musuh negara,” katanya pada perhimpunan masyarakat sivil rakyat Asean.
Hishamudin menegaskan Asean mesti memastikan individu yang berani menyuarakan kebenaran kepada pihak berkuasa tidak dipersalahkan tetapi disokong.
Beliau juga menggesa kerajaan-kerajaan menggubal undang-undang dan dasar jelas mengiktiraf dan melindungi pembela hak asasi manusia.
Hishamudin turut menekankan tanggungjawab Malaysia sebagai pengerusi Asean untuk membantu membentuk hala tuju Asean Community Vision 2045, yang merangkumi strategi rantau ini bagi tempoh 20 tahun akan datang — melibatkan aspek politik, keselamatan, ekonomi, sosiobudaya dan keterhubungan.
“Tema yang diisytiharkan iaitu ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ tidak sepatutnya tinggal sebagai retorik semata-mata.
“Ia mesti direalisasikan melalui undang-undang, dasar dan amalan meletakkan maruah serta hak semua rakyat sebagai teras kepada integrasi sosial, politik dan ekonomi Asean.”
Beliau turut menggesa Asean membangunkan perlindungan sosial yang inklusif dan menggalakkan hak pekerja, terutamanya bagi golongan migran dan pekerja sektor tidak formal.
“Hanya Asean yang bersatu dan inklusif mampu bertahan dalam tekanan ekonomi dunia yang semakin terpecah,” katanya.
Bimbang pemerdagangan manusia
Cynthia Gabriel, pengasas Southeast Asian Anti-Corruption Network, berkata rasuah adalah punca utama kepada pemerdagangan manusia, eksploitasi alam sekitar dan pencabulan hak pekerja.

“Kami percaya jenayah dan rasuah saling berkait — saling memperkukuh. Di mana ada jenayah terancang, di situ ada rasuah yang berselindung,” katanya dalam sesi forum selepas ucapan Hishamudin.
Beliau berkata pemerdagangan manusia, yang sering dianggap jenayah terancang paling menguntungkan di dunia, sukar dikesan kerana kekurangan data.
Tahun lalu, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) melaporkan bahawa keuntungan tahunan global daripada buruh paksa dan eksploitasi seksual paksa telah meningkat kepada anggaran USD236 bilion.
Laporan US Trafficking in Persons 2024 menyatakan bahawa dalam tempoh lima tahun lalu, pemerdagang manusia telah mengeksploitasi mangsa tempatan dan asing di Malaysia, dan pemerdagangan turut melibatkan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa di luar negara.
Kebanyakan mangsa antara 1.5 juta pekerja migran yang mempunyai dokumen, dan lebih ramai lagi yang tidak mempunyai dokumen di Malaysia.
Abu Mufakir, dari Koalisi Buruh Migran Berdaulat di Indonesia, berkata pengusiran pekerja migran tanpa dokumen dari Sabah tidak memberi kesan diharapkan.
“Sabah mengusir sehingga 10,000 migran tanpa dokumen setiap tahun — malah bayi turut ditahan. Tetapi jumlahnya terus meningkat.

“Pengusiran besar-besaran jelas tidak berkesan,” katanya, sambil menambah bahawa pihak berkuasa perlu mencari alternatif lebih efektif memandangkan kebanyakan migran datang dari Indonesia dan Filipina untuk bekerja di ladang kelapa sawit.
Amina Rasul, dari Philippine Center for Islam and Democracy, berkata masyarakat sivil mesti terus memimpin usaha ke arah dasar serantau yang berteraskan rakyat, termasuk isu migrasi, buruh dan keselamatan manusia.
“Kita tidak boleh bergantung kepada sekretariat Asean semata-mata. Masyarakat sivil perlu mendahului,” katanya.