
Sindiket yang kembali aktif sejak 2018 ditumpaskan dalam 11 serbuan oleh Bahagian D3 (Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran–ATIPSOM) dalam operasi 10-13 Okt, susulan pemantauan selama empat bulan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), M Kumar, berkata wanita itu dijadikan mangsa selepas diambil dari Indonesia kononnya untuk berkhidmat di kilang dan syarikat swasta di negara ini.
“Mangsa kebanyakan berasal daripada keluarga miskin dan tidak berpelajaran tinggi di Indonesia. Ada mangsa yang baru lima bulan datang ke negara ini, tetapi ada yang didagangkan sindiket selama 13 tahun.
“Mereka ini dikawal sepenuhnya oleh sindiket dengan dijadikan pembantu rumah dan dihantar ke rumah-rumah yang memerlukan perkhidmatan itu di sekitar Lembah Klang.
“Mangsa menuruti semua arahan sindiket selepas ditekan secara psikologi dan ditakutkan secara melampau,” katanya menurut Berita Harian, di Bukit Aman.
Katanya, semua mangsa terputus hubungan dengan keluarga dan tidak diberikan akses untuk berhubung dengan dunia luar, malah langsung tidak dibayar gaji.
“Mangsa-mangsa dihantar dan diambil untuk bekerja dan diletakkan dalam lima buah rumah yang disewa khas serta dikawal rapi,” katanya sambil memaklumkan mangsa diselamatkan berusia 20 hingga 47 tahun.
Kumar berkata, 14 suspek ditahan terdiri lapan lelaki dan tiga wanita tempatan berusia 28 hingga 48 tahun.
“Tiga wanita warga Indonesia berusia 27 hingga 37 tahun turut ditahan.”
Beliau berkata, pihaknya mengesan sindiket berkenaan menyamar sebagai syarikat pekerja asing namun mereka sebenarnya langsung tidak mempunyai lesen.
“Kemungkinan pelanggan yang mengambil perkhidmatan itu tidak tahu mereka sebenarnya melanggan mangsa pemerdagangan manusia,” katanya.
Beliau berkata, dalam operasi itu, polis turut merampas wang tunai RM1,056,806 juta, enam kenderaan, 71 pasport, 19 unit telefon bimbit, lima set rakaman kamera litar tertutup dan 14 rangkai kunci rumah.
Semua suspek direman antara empat hingga tujuh hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah, dan lima kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.