Indonesia patah cubaan seludup migran ke Malaysia, 2 ditahan

Indonesia patah cubaan seludup migran ke Malaysia, 2 ditahan

Bot laju itu membawa 19 migran yang juga warga Indonesia dari wilayah Riau, Aceh, Lampung, Jawa Timur dan Sumatera Utara.

handcuff
Dua kru bot yang ditahan diserahkan kepada polis Riau untuk siasatan lanjut mengikut kesalahan pemerdagangan manusia.
JAKARTA:
Tentera Laut Indonesia (TNI AL) memintas sebuah bot laju membawa 19 migran tanpa dokumen dan dua individu disyaki penyeludup di perairan wilayah Riau.

Bot dilengkapi tiga enjin sangkut itu dikesan di Selat Morong dekat Pulau Rupat pada 8 Mei lalu, ketika cuba memasuki perairan Malaysia secara haram.

Menurut Pejabat Penerangan Umum Tentera Laut (Dispenal), bot itu enggan mematuhi amaran menyebabkan anggota TNI AL terpaksa melepaskan tembakan ke arah enjin untuk menghentikannya.

“Semua 19 penumpang merupakan warganegara Indonesia dari pelbagai wilayah termasuk Riau, Aceh, Lampung, Jawa Timur dan Sumatera Utara,” katanya dalam kenyataan.

Dispenal memaklumkan kebanyakan migran itu memiliki pasport tamat tempoh atau disenarai hitam daripada perjalanan antarabangsa.

Mereka dipercayai bertolak dari sebuah lokasi penempatan sementara di Kampung Teluk Lecah yang dikendalikan individu dikenali “JP”.

Dua kru bot, masing-masing dikenali “K” dan “J” memberitahu penyiasat, mereka dibayar 3.5 juta rupiah (kira-kira USD220) untuk menghantar setiap penumpang ke Malaysia.

“Kedua-dua suspek akan diserahkan kepada polis Riau untuk siasatan lanjut mengikut kesalahan pemerdagangan manusia. Migran pula akan diproses Pos Perlindungan Pekerja Migran Indonesia di Dumai.”

Operasi itu sebahagian usaha berterusan TNI AL memperketat kawalan keselamatan maritim, mencegah penyeludupan rentas sempadan dan meningkatkan kesiapsiagaan terhadap jenayah di perairan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.