Waspada graduan IT, elak direkrut sindiket tipu, kata Bukit Aman

Waspada graduan IT, elak direkrut sindiket tipu, kata Bukit Aman

Polis nasihat teliti tawaran kerja di Vietnam, Kemboja, Laos, atau Myanmar.

Shuhaily
Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, lepasan IPT mencari kerja dinasihatkan lebih berhati-hati dengan pihak tawar jawatan bergaji tinggi terutama di luar negara. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Graduan berkemahiran teknologi khususnya dalam bidang maklumat dan komunikasi diseru lebih waspada agar tidak menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia atau scammer yang ingin memanipulasi kemahiran mereka bagi tujuan aktiviti jenayah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata tawaran kerja di Vietnam, Kemboja, Laos, atau Myanmar juga boleh menjadi amaran awal dan perlu disemak oleh golongan mencari pekerjaan agar tidak menjadi mangsa penipuan atau pemerdagangan manusia.

“Dapatan saya di lapangan, kita berdepan kes pemerdagangan manusia yang semakin mencabar dan walaupun tidak memerlukan kepakaran tinggi, namun mereka tetap memerlukan pakar sekurang-kurangnya yang ada kemahiran asas mengenai sistem dan telekomunikasi.

“Jadi, mereka ini (yang berkemahiran teknologi) juga ada sasarannya,” katanya menurut Bernama selepas merasmikan Majlis Penutup Seminar Penguatkuasaan Atipsom 2024 – Awareness to Action: Mobilising Against Human Trafficking and People Smuggling, di Melaka.

Beliau berkata, selain itu, pelajar lepasan institusi pengajian tinggi yang sedang mencari pekerjaan juga dinasihatkan agar lebih berhati-hati dengan pihak menawarkan jawatan bergaji tinggi terutama di luar negara.

“Secara rambang, kita tahu pasaran kerja di sini menawarkan (gaji) permulaan RM1,500 hingga RM2,200, manakala mereka boleh menawarkan RM4,000 hingga RM5,000.

“Jadi, ini satu tawaran yang menarik bagi anak-anak muda yang ingin memulakan kehidupan dan secara jelasnya, iklan tidak menunjukkan bahawa mereka akan terlibat dengan judi dalam talian, tetapi legit seperti pegawai khidmat pelanggan atau sokongan teknikal,” katanya.

Shuhaily berkata, pihak berkuasa juga mendapati ada rakyat Malaysia yang bukan bersekongkol, namun mempunyai peranan tersendiri mengajak rakan ke luar negara terutama graduan muda yang ingin memulakan kerjaya dengan tawaran gaji lumayan tanpa menyedari mereka menjadi ahli sindiket.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.