
Johan Ariffin Samad, yang juga ahli G25 yang melibatkan bekas pegawai kanan kerajaan, percaya keputusan Anwar dibuat untuk mengambil hati orang Islam di Semenanjung.
“Ini (cadangan) hanya ‘wayang’ sahaja, bersandiwara dengan orang Islam dan untuk bersaing dengan pembangkang. Ia tidak baik,” kata Johan kepada FMT.
Walaupun diperuntukan dengan bajet besar, Johan berkata, Jakim gagal mendidik orang Islam secara berkesan, sehingga mereka terjerumus dengan kebimbangan tidak munasabah bahawa Islam berdepan ancaman di negara ini.
Pada Ahad, Anwar mengumumkan Jakim akan diberi peranan lebih besar untuk memberi input dalam penggubalan dasar kerajaan. Anwar berkata, beliau mahu agensi itu membantu melakar rangka dasar pembangunan negara berteraskan Malaysia Madani.
Diasaskan pada 1997, Jakim merupakan agensi kerajaan persekutuan yang memainkan peranan mengawal selia hal ehwal Islam.
Bekas Ahli Parlimen, Tawfik Ismail membantah cadangan memberi lebih kuasa kepada Jakim, sambil menyifatkannya sebagai “langkah terkebelakang” kerana jabatan itu wujud di luar kerangka Perlembagaan Persekutuan.
“Saya tidak melihat sebarang alasan mengapa Jakim patut diberikan lebih kuasa berbanding jabatan lain yang sudah diberikan mandat melaksanakan dasar kerajaan,” katanya.
Beliau berkata, keputusan perdana menteri lebih membingungkan kerana dalam kerangka Persekutuan, perkara berkaitan hal ehwal agama berada di bawah bidang kuasa negeri.
Bekas Ahli Parlimen Benut itu, berkata cadangan tersebut jika dilaksanakan, akan menjurus pentadbiran Islam dalam lebih banyak kekeliruan.
“Kerajaan negeri sudah ada mufti dan Sultan, yang berkemampuan memutus hal ehwal agama,” katanya.
Pada 2020, G25 berkata kewujudan Jakim tidak sejajar dengan Perkara 38 Perlembagaan kerana jabatan itu tidak berada di bawah pengawasan Majlis Raja-Raja.
Sejak bertahun lamanya, Jakim yang menerima sekurang-kurangnya RM1.5 bilion dana tahunan di bawah peruntukan pusat, berdepan kritikan beberapa pihak.
Pada 2020, jabatan itu dituduh cuai dalam skandal daging halal. Pengkritik menuntut penjelasan bagaimana Jakim selama berdekad tidak sedar kewujudan kartel pengimportan daging tidak halal yang diluluskan sebagai halal.