
Pendirian peguam negara itu dimaklumkan kepada Hakim Norliza Othman semasa pengurusan kes hari ini.
Selaku penjaga kepentingan awam, peguam negara mempunyai kuasa budi bicara sama ada untuk menyokong atau membantah permohonan kebenaran bagi memulakan prosiding semakan kehakiman, sebelum merit sesuatu kes didengar.
Ketika dihubungi FMT, Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly mengesahkan pendirian peguam negara itu.
Beliau berkata, permohonan kebenaran itu akan didengar pada 9 Jun bagi memberi masa kepada peguam negara untuk menjawab hujahan tambahan yang difailkan oleh Badan Peguam.
Peguam Steven Thiru dan Abdul Rashid Ismail tampil mewakili Badan Peguam.
Badan berkanun yang mewakili lebih 25,000 peguam di Semenanjung itu memohon perintah certiorari daripada Mahkamah Tinggi untuk membatalkan keputusan perdana menteri melantik Terrirudin.
Ia juga memohon perintah mandamus untuk memaksa perdana menteri melaksanakan prerogatifnya melantik ahli JAC selaras dengan undang-undang Malaysia, konvensyen yang ditetapkan serta Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009.
Dalam permohonan yang difailkan tiga bulan lalu itu, Badan Peguam turut memohon satu lagi perintah mandamus bagi menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja untuk menyiasat dakwaan terhadap Terrirudin, dengan penemuan siasatan itu didedahkan kepada umum.
Ia juga mahu memaksa Terrirudin supaya memberi tunjuk sebab dan mendedahkan asas yang membolehkan perdana menteri melantiknya menganggotai JAC.
Selain itu, Badan Peguam mahu Mahkamah Tinggi mengisytiharkan bahawa keputusan melantik Terrirudin adalah menyalahi undang-undang, terbatal dan tidak sah. Ia memohon satu perintah untuk menangguhkan pelantikan itu sementara menunggu prosiding semakan kehakiman itu selesai.
Selain Terrirudin, Badan Peguam menamakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, JAC dan kerajaan sebagai responden.
Pelantikan Terrirudin menganggotai JAC pada November lepas dikatakan menyimpang daripada amalan sekian lama yang menetapkan hakim kanan mahkamah tertinggi bagi jawatan tersebut.
Terrirudin, yang merupakan bekas peguam negara, baru sahaja dinaikkan pangkat ke Mahkamah Persekutuan pada November 2024.
Di bawah Akta JAC yang berkuat kuasa pada 2009, perdana menteri melantik seorang hakim Mahkamah Persekutuan dan empat tokoh terkemuka menganggotai suruhanjaya itu untuk tempoh dua tahun.
Ketua hakim negara, presiden Mahkamah Rayuan, serta dua Hakim Besar Malaya, serta Sabah dan Sarawak, menganggotai JAC berdasarkan kedudukan pentadbiran mereka.
Fungsi utama suruhanjaya tersebut adalah untuk mengesyorkan kepada perdana menteri individu yang sesuai bagi pelantikan sebagai hakim Mahkamah Tinggi dan kenaikan pangkat ke Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan.
Yang di-Pertuan Agong kemudiannya membuat pelantikan tersebut atas nasihat perdana menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.