
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata KKM juga sedia mengkaji semula kajian dilakukan pada 2019 yang mendapati bekalan pegawai perubatan akan mengalami kebanjiran mulai 2026 hingga 2030.
“Kita tahu ada perubahan, terutamanya selepas pasca Covid-19 ini, jadi mungkin ada perkara baharu yang perlu dilihat semula pada kajian tersebut, mungkin pada polisi baharu.
“Kita bimbang juga (pelajar tidak berminat nak sambung pelajaran) perkara itu boleh berlaku. Kita akan lihat kajian yang telah dilakukan itu, supaya keputusan terbaik dapat dibuat,” katanya kepada pemberita pada selepas merasmikan Majlis Kajian Global Adults Tobacco Survey (GATS) di Port Dickson hari ini, lapor Bernama.
Zaliha berkata kementerian mengakui bimbang keputusan yang dibuat itu akan memberi kesan terhadap pelajar untuk melanjutkan pengajian di universiti.
“Perkhidmatan kesihatan adalah penting justeru profesion seperti doktor dan jawatan lain dalam skim perubatan amat diperlukan di negara ini,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan kerajaan menghentikan penajaan JPA dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi berikutan kajian KKM mendapati bekalan pegawai perubatan akan mengalami kebanjiran mulai tahun 2026 hingga 2030.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Armizan Mohd Ali yang dipetik berkata, berkata Laporan Petunjuk Kesihatan 2022 melaporkan pencapaian nisbah jumlah keperluan tenaga kerja perubatan seluruh negara kepada jumlah populasi penduduk sehingga Disember 2021 adalah 1:420 dan dijangkakan nisbah 1:400 akan dapat dicapai pada 2025.