3 lelaki ‘pukau’ suri rumah larikan barang kemas ditahan

3 lelaki ‘pukau’ suri rumah larikan barang kemas ditahan

Polis berkata suspek berjaya ditahan beberapa minit selepas kejadian selepas melarikan barang kemas bernilai RM19,000 itu.

Menurut polis, semua suspek akan direman hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
PETALING JAYA:
Polis berjaya menahan tiga lelaki termasuk warga Indonesia selepas disyaki melarikan barang kemas milik suri rumah yang dipercayai dipukau di Pasar Besar Perlis, semalam.

Ketua Polis Kangar, Yusharifuddin Mohd Yusop, berkata suspek berusia 52 hingga 65 tahun yang berasal dari Tampoi, Port Dickson dan Tanjung Pinang, Indonesia ditahan beberapa minit selepas kejadian kira-kira 10 pagi.

Katanya, suspek yang menaiki Proton Saga FLX ditahan dengan bantuan orang awam yang melihat kejadian itu serta anggota polis dari IPD Arau.

“Mangsa berusia 51 tahun sedang membeli barang sebelum didatangi dua suspek (termasuk warga Indonesia) yang menawarkan untuk membuat pemeriksaan kesihatan.

“Suspek meminta mangsa untuk mengikut mereka ke kawasan berdekatan bagi melakukan pemeriksaan kesihatan dan kemudian meminta mangsa menyerahkan dua utas gelang emas dan cincin serta sepasang subang emas bernilai RM19,000.

“Mangsa menyerahkan kepada suspek dan selepas itu suspek menukarkannya dengan sampul surat berisi beberapa duit syiling dan kepingan pelapik skru,” katanya dalam kenyataan, menurut Berita Harian.

Menurutnya, suspek kemudian melarikan diri dengan kereta dan orang awam yang menyedari insiden itu segera mengejar mereka hingga ke Taman Intan.

Katanya, polis berjaya menemui semula barang kemas yang disimpan dalam sampul surat , manakala semakan mendapati kereta digunakan disewa di Johor.

Yusharifuddin tidak menolak kemungkinan terdapat unsur pukau dalam kejadian itu, memandangkan mangsa dengan mudah menyerahkan semua barang kemas dipakainya kepada individu tidak dikenali.

“Suspek akan direman esok (hari ini) dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.