
Dalam kejadian 1.30 tengah hari semalam, remaja berusia 19 tahun keluar bersama keluarganya di pusat beli-belah di Ampang memaklumkan mahu ke tandas.
Namun, selepas dua jam remaja tersebut tidak kelihatan membuatkan bapanya mencari di seluruh pusat beli-belah itu namun tidak menemuinya.
“Tidak lama kemudian mereka menerima mesej WhatsApp daripada telefon bimbit anaknya meminta supaya menyerahkan wang tunai RM100,000 jika mahu anaknya selamat.
“Ibu bapanya bimbang dengan keselamatan remaja itu kemudian tampil membuat laporan polis,” menurut Harian Metro yang memetik sumber.
Bagaimanapun, tembelang remaja terbabit pecah apabila hasil siasatan polis mendapati ia bukanlah kejadian culik sebaliknya mangsa menghilang diri ketika ke tandas, sebelum tinggal di rumah kawan lelakinya di Shah Alam.
Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan yang mengesahkan kejadian itu turut memaklumkan remaja terbabit telah ditahan pada 10 malam 1 Jun untuk siasatan lanjut dan direman dua hari bermula hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan 182 Kanun Keseksaan.