Suami isteri maut dengan kecederaan serius

Suami isteri maut dengan kecederaan serius

Polis berkata lelaki berusia 45 tahun dan isterinya 44 tahun ditemui tidak sedarkan diri pada 6.55 pagi tadi.

Polis menjalankan siasatan di rumah pasangan suami isteri ditemui maut di Taman Mutiara, Sri Aman. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Sepasang suami isteri ditemui maut dengan kecederaan serius pada badan di sebuah rumah di Taman Mutiara, Jalan Brayun, Sri Aman dekat Kuching.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Mohamad Zainal Abdullah, berkata anggota IPD Sri Aman bersama pegawai perubatan dari Hospital Sri Aman bergegas ke lokasi selepas orang awam memaklumkan penemuan pasangan itu yang tidak sedarkan diri pada 6.55 pagi tadi.

Menurutnya, mangsa lelaki berusia 45 tahun, manakala isterinya 44 tahun.

“Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, motif dan punca kematian pasangan itu masih disiasat, dengan polis giat mengumpul bukti serta keterangan saksi.

Justeru, beliau meminta orang ramai mempunyai maklumat berkaitan menghubungi pegawai penyiasat Kalang di talian 019-331 7785, Pusat Kawalan IPD Sri Aman atau balai polis berdekatan.

Sementara itu, akhbar itu memetik sumber berkata mangsa bertugas sebagai guru besar sebuah sekolah di Lubok Antu, manakala isterinya merupakan jururawat.

Mayat pasangan itu ditemui anak mangsa yang menyedari mereka tidak keluar dari bilik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.