Polis bantuan maut, 9 parah nahas bas dekat Rawang

Polis bantuan maut, 9 parah nahas bas dekat Rawang

Polis berkata seorang penumpang bas disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sungai Buloh.

kemalangan lori dan bas rawang
Keadaan bas ekspres dalam kemalangan tiga kenderaan di KM441.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara ke selatan awal pagi tadi. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Kemalangan tiga kenderaan di KM441.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara ke selatan dekat Rawang awal pagi tadi menyebabkan seorang maut dan sembilan lagi parah.

Nahas pada 5.45 pagi itu membabitkan sebuah bas ekspres, lori bonded dan motosikal.

Harian Metro melaporkan mangsa korban ialah polis bantuan dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas menziarahi ibu tirinya yang meninggal dunia.

Ketika kejadian, Luqman Nul Hakim Halim, 37, menaiki bas bersama isterinya dan empat anak mereka dalam perjalanan pulang ke rumah di Batu Pahat.

Ketua Polis Gombak, Noor Ariffin Mohamad Nasir, berkata bas sedang bergerak di lorong kanan itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan menyebabkan ia melintang di tengah lebuh raya.

Menurutnya, sebuah lori bonded dan motosikal dari arah sama tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian kiri bas terbabit.

“Susulan itu, seorang penumpang bas disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.

“Pemandu lori, penunggang motosikal dan tujuh penumpang bas lain mengalami kecederaan parah dan masih dirawat di hospital sama,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, pemandu bas itu dilaporkan tidak cedera dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pagi tadi, media melaporkan 15 cedera, termasuk tiga parah dalam nahas sebuah bas dengan lori tiga tan di KM441.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, antara Sungai Buaya dan Rawang.

Semua mangsa cedera dihantar ke Hospital Sungai Buloh, dengan lapan daripadanya dirawat di zon hijau, empat di zon kuning dan tiga di zon merah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.