
Gelje Sherpa, 30, sedang membawa pendaki China ke puncak Everest setinggi 8,849m pada 18 Mei lalu sebelum beliau melihat seorang pendaki Malaysia berpaut pada tali dan menggigil kerana cuaca sejuk melampau di lokasi dikenali sebagai “zon maut” di mana suhu boleh jatuh di bawah -30 darjah celcius.
Katanya, beliau kemudiannya menarik pendaki itu sejauh 600m turun dari kawasan “Balcony” ke “South Col” dalam tempoh kira-kira enam jam, sebelum seorang lagi sherpa, Nima Tahi turut sama bantu menyelamat.
“Kami menyelimutkan pendaki itu dengan ‘sleeping mat’ dan adakala menyeretnya di atas salji atau mendukungnya secara bergilir-gilir ke Kem III,” katanya.
Sebuah helikopter kemudiannya tiba untuk membawa mangsa dari Kem III setinggi 7,162 meter turun ke “base camp”.
“Hampir mustahil menyelamatkan pendaki dari ketinggian seperti itu,” kata Bigyan Koirala seorang pegawai Jabatan Pelancongan.
“Ia satu operasi yang jarang dilakukan.”
Gelje berkata, beliau turut meyakinkan pendaki China yang dibawanya untuk tidak meneruskan perjalanan ke puncak kerana baginya, misi menyelamatkan mangsa adalah lebih penting.
“Menyelamatkan nyawa adalah lebih penting daripada segala-galanya,” katanya.
Tashi Lakhpa Sherpa dari syarikat Seven Summit Treks yang memberi khidmat logistik kepada pendaki Malaysia itu enggan menamakan mangsa. Katanya, pendaki itu sudah dibawa pulang ke Malaysia minggu lalu.
Nepal dilaporkan mengeluarkan 478 permit untuk mendaki Everest ketika musim pendakian pada Mac hingga Mei. Sekurang-kurangnya 12 pendaki dilaporkan meninggal dunia iaitu jumlah tertinggi yang direkodkan selama lapan tahun, manakala lima lagi masih hilang di gunung itu.
Antara yang maut adalah Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Awang Askandar Ampuan Yaacub, 55, yang meninggal dunia selepas terjatuh ketika melakukan pendakian ke puncak Everest pada 18 Mei lalu.
Seorang lagi pendaki Malaysia, orang kurang upaya (OKU) pendengaran, Muhammad Hawari Hashim pula dilaporkan hilang sehari selepas berjaya menawan puncak gunung tertinggi dunia itu.