Banteras budaya buli di sekolah dan universiti

Banteras budaya buli di sekolah dan universiti

Bagaimana kita mahu bercakap tentang 'pendidikan berkualiti' jika tidak mampu menjamin keselamatan asas pelajar di sekolah dan universiti?

bully

Di Malaysia, isu buli dalam kalangan pelajar sama ada di sekolah mahupun institusi pengajian tinggi semakin mendapat perhatian umum apabila kes demi kes tular di media sosial. Video dan laporan pelajar dipukul, dihina, atau dipersenda bukan sahaja menimbulkan kemarahan rakyat, malah mengundang persoalan besar: sejauh mana sekolah dan universiti kita benar-benar selamat?

Gejala buli di sekolah dan universiti tidak boleh lagi sekadar diberikan alasan ‘perangai budak-budak’. Ia adalah satu bentuk keganasan yang mengancam nyawa, memusnahkan masa depan dan mencalar maruah sistem pendidikan negara. Setiap kali kita menutup mata, menyapu kes di bawah karpet demi menjaga ‘imej sekolah’, kita sedang menjadi sebahagian daripada masalah ini.

Dalam tempoh beberapa tahun ini, kita telah melihat terlalu banyak laporan tentang pelajar cedera, mengalami trauma mendalam, malah ada yang kehilangan nyawa akibat buli. Mangsa bukan sekadar menanggung lebam di badan, malah luka psikologi yang mungkin tidak sembuh seumur hidup. Setiap tamparan, tendangan atau kata-kata penghinaan meninggalkan parut psikologi yang lebih mendalam dan sukar diubati berbanding parut fizikal.

Sekolah sepatutnya menjadi medan pelajar membina kemahiran sosial, mengasah keberanian, dan memupuk keyakinan diri. Mangsa buli lebih cenderung mengasingkan diri, enggan menyertai aktiviti kokurikulum, atau mengelak berinteraksi dengan rakan sebaya. Mereka membesar dalam persekitaran tidak selamat, lantas membawa rasa rendah diri dan kesukaran menyesuaikan diri dalam masyarakat.

Buli membantutkan perkembangan pelajar untuk menjadi insan yang matang secara sihat. Sebaliknya, mereka belajar bahawa kuasa digunakan untuk menindas, dan bahawa diam lebih selamat daripada melawan. Persekitaran pembelajaran yang sepatutnya menjadi tempat membina keyakinan diri bertukar menjadi medan ketakutan. Pelbagai kajian oleh penyelidik dari Amerika Syarikat, Arab Saudi, India, Ireland, dan Norway menunjukkan mangsa buli cenderung mengalami prestasi akademik yang merosot kerana tidak dapat menumpukan perhatian di dalam kelas.

Lebih merisaukan lagi, buli juga menanam perasaan dendam. Mangsa yang tidak mendapat pembelaan sering menyimpan luka itu hingga dewasa, dan tidak sedikit yang akhirnya mengulang kitaran keganasan — seolah-olah ingin ‘membayar balik’ pengalaman pahit peribadi mereka, menjadi pembuli pula kepada orang lain. Ia adalah warisan beracun yang kita biarkan subur setiap kali kita gagal bertindak.

IDEAS

Fenomena ini bukan sahaja mengekalkan budaya negatif di sekolah, malah membentuk komuniti yang penuh kebencian dan ketidakpercayaan antara satu sama lain. Sekolah yang gagal memutuskan kitaran ini akan berdepan masalah disiplin yang berulang dari generasi ke generasi.

Setiap kali kes buli tular, imej sistem pendidikan kita tercalar di mata masyarakat. Lebih memalukan, ia mendedahkan betapa lemahnya komitmen kita untuk melindungi anak muda. Ibu bapa mula ragu menghantar anak ke asrama atau membiarkan mereka menyertai aktiviti luar kelas. Malah, pelajar antarabangsa yang berpotensi datang ke Malaysia mungkin berfikir dua kali apabila imej negara terpalit dengan isu keselamatan pelajar. Bagaimana kita mahu bercakap tentang ‘pendidikan berkualiti’ jika kita tidak mampu menjamin keselamatan asas pelajar di sekolah dan universiti?

Gejala buli di sekolah dan universiti bukan lagi masalah disiplin biasa, ia adalah barah sosial yang merosakkan masa depan negara. Sudah terlalu lama kita menutup mata, memaafkan pelaku atas alasan ‘nakal’ atau ‘budak-budak’. Realitinya, setiap kali pelaku dibiar tanpa tindakan tegas, kita sedang menghantar mesej bahawa kita bertolak ansur dengan keganasan. Sikap memberi alasan dan lepas tangan sebegini perlu dihentikan.

Bagi membanteras gejala buli, pendekatan menyeluruh dan berterusan perlu segera diambil, melibatkan semua pihak termasuk guru, pensyarah, pentadbir institusi, ibu bapa, komuniti, dan pelajar itu sendiri.

Pertama, institusi pendidikan mesti meletakkan dasar sifar tolak ansur terhadap semua bentuk buli, sama ada fizikal, mental, atau siber. Pelaku perlu dikenakan tindakan disiplin yang tegas dan telus, termasuk penggantungan atau buang sekolah/universiti jika kes serius, sambil memastikan mangsa mendapat perlindungan penuh daripada ancaman balas dendam.

Tidak ada gunanya berbicara tentang ‘sekolah selamat’ jika aduan disapu di bawah karpet demi menjaga reputasi institusi terlibat. Malah, tawaran terkini oleh Menteri Pendidikan bahawa akan ada ganjaran untuk sekolah yang mempunyai sifar kes buli berpotensi menyebabkan lebih banyak kes didiamkan demi mengejar insentif tersebut.

Alternatif yang lebih baik adalah ganjaran diberikan kepada sekolah yang paling banyak menyelesaikan kes buli.

Kedua, setiap sekolah dan universiti wajib menyediakan saluran pelaporan yang selamat, rahsia dan bebas tekanan, termasuk platform digital di mana mangsa boleh membuat laporan secara tanpa nama. Mekanisme ini mesti diiringi jaminan bahawa setiap aduan akan disiasat secara profesional, bukan sekadar ‘memberi nasihat’ kepada pelaku untuk berubah.

Ketiga, pendidikan kesedaran anti-buli tidak boleh lagi sekadar laungan ‘kami anti buli’ dua kali sehari, poster di papan kenyataan atau ceramah sekali setahun. Ia perlu menjadi sebahagian daripada kurikulum dan kehidupan kampus, dengan modul interaktif yang memaparkan kesan sebenar buli; dari trauma seumur hidup hingga kes bunuh diri yang menggemparkan negara.

Dan yang paling penting, ibu bapa perlu mengambil peranan serius. Jika anak menjadi pelaku, mereka perlu bertanggungjawab, bukan melindungi atau menyalahkan mangsa.

Jika anak menjadi mangsa, keluarga mesti menjadi benteng pertama yang tegas mempertahankan hak mereka.

Kita perlu jujur, selagi kita memilih untuk berlembut dengan pelaku dan memandang remeh penderitaan mangsa, selagi itulah buli akan terus subur. Sudah tiba masa kita mengubah budaya ini: daripada takut bersuara kepada berani bertindak, daripada menyembunyikan kebenaran kepada membongkarnya, daripada menutup kes kepada menghukum dengan adil, daripada hanya mengambil langkah reaktif kepada proaktif membanteras buli.

Kata pujangga, api yang kecil baik dipadam. Jika tidak, kita hanya menunggu generasi yang penuh luka dan dendam mengambil alih masa depan negara.

 

Zuhdi Farhan ialah eksekutif kanan, advokasi dan program di Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS).

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT serta IDEAS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.