4 sekeluarga sesat daki bukit ditemukan selamat

4 sekeluarga sesat daki bukit ditemukan selamat

Suami isteri dan dua anak sesat ketika mendaki di Berapit Hill Trail, Pulau Pinang.

Bomba berkata empat sekeluarga yang tersesat ketika mendaki di Berapit Hill Trail, Pulau Pinang, ditemukan selamat 10.09 malam tadi. (Gambar JBPM)
BUKIT MERTAJAM:
Empat sekeluarga melalui detik cemas selepas sesat lebih tiga jam ketika mendaki di Berapit Hill Trail sebelum berjaya diselamatkan bomba, malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.08 malam memaklumkan suami isteri dan dua anak sesat di kawasan hutan tersebut.

“Mereka dilaporkan sesat ketika melakukan aktiviti pendakian di kawasan itu dan difahamkan keluarga tersebut telah mendaki bermula 6 petang, sebelum gagal menemui laluan untuk turun semula ke kaki bukit serta bertindak menghubungi pihak berkuasa.

“Semua mereka telah ditemukan dalam keadaan selamat pada 10.09 malam oleh anggota bomba yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat, sebelum seterusnya dibawa turun ke kaki bukit,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, operasi itu dijalankan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Mertajam, dibantu Pasukan Bomba Sukarela Bukit Mertajam tamat sepenuhnya pada 10.58 malam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.