KJ saman Jamal RM1 juta

KJ saman Jamal RM1 juta

Saman fitnah itu berkait kenyataan ketua Umno Sungai Besar pada sidang media di PAU 2022 Januari lalu.

Khairy Jamaluddin menuntut ganti rugi khas RM1 juta, ganti rugi am, perintah supaya Jamal Yunos menerbitkan permohonan maaf di Facebook dan TikTok serta dalam akhbar utama bahasa Melayu, Inggeris dan Cina.
PETALING JAYA:
Bekas Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin memfailkan saman fitnah terhadap Jamal Yunos berkait kenyataan ketua Umno Sungai Besar itu dalam sidang media di Perhimpunan Agung Umno 2022, Januari lalu.

Khairy memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 24 Mei lalu melalui firma guaman Tetuan Aizat Izuan Shakeel.

Bekas menteri kesihatan berkata, dalam sidang media itu Jamal turut menggesa Umno mengambil tindakan disiplin terhadapnya.

Katanya, rakaman sidang media itu turut dimuat naik di laman Facebook Jamal dengan tajuk: “Saya harap Khairy Jamaluddin dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin Umno selepas mengeluarkan kenyataan yang semberono dan memalukan Umno”.

Katanya, Jamal juga memuat naik rakaman sama di akaun TikTok “jamal_yunos”.

Dalam tuntutannya, Khairy berkata kenyataan Jamal itu membawa maksud, beliau pemimpin yang tiada integriti, seorang individu tiada kredibiliti untuk memimpin dan terbabit atau melakukan jenayah rasuah.

Khairy juga menuntut Jamal memadamkan video itu di akaun media sosial miliknya.

Dalam saman itu, Khairy menuntut ganti rugi khas RM1 juta, ganti rugi am, perintah supaya Jamal menerbitkan permohonan maaf di media sosial Facebook dan TikTok serta dalam akhbar utama bahasa Melayu, Inggeris dan Cina.

“Plaintiff (Khairy) menghantar surat tuntutan pada 9 Feb lalu meminta defendan (Jamal) menarik balik kenyataan itu tetapi beliau tidak berbuat demikian,” kata kenyataan tuntutan itu.

Pada 27 Jan lalu, Umno mengumumkan pemecatan Khairy, manakala bekas ketua penerangan Shahril Hamdan dan bekas naib presiden Hishammuddin Hussein digantung keahlian selama enam tahun.

Khairy adalah bekas ketua Pemuda Umno dari 2008 hingga 2018 dan beliau juga Ahli Parlimen Rembau selama tiga penggal dari 2008 hingga 2022.

Pada PRU15 lalu, beliau menjadi calon di kerusi Parlimen Sungai Buloh di Selangor tetapi tewas kepada calon Pakatan Harapan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.