Akidah bersih boleh selamatkan diri daripada syirik, titah Pemangku Raja Perlis

Akidah bersih boleh selamatkan diri daripada syirik, titah Pemangku Raja Perlis

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, syirik adalah 'ibu kesalahan fikir' yang membawa seseorang ke arah cara berfikir salah dalam pelbagai perkara.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, khurafat atau kepercayaan tidak berasas hanya akan merosakkan fikiran manusia. (Gambar Bernama)
KANGAR:
Akidah yang bersih mampu menyelamatkan seseorang itu daripada syirik dan membawa kepada jalan hidup yang benar, titah Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda bertitah, syirik adalah “ibu kesalahan fikir” yang membawa seseorang ke arah cara berfikir salah dalam pelbagai perkara.

“Sementara khurafat atau kepercayaan tidak berasas hanya akan merosakkan fikiran manusia,” titah baginda pada Majlis Penutup Perkampungan Sunnah Siri Kelapan di Masjid Alwi di sini, malam tadi.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir Menteri Besar Perlis, Shukri Ramli, barisan exco negeri dan Mufti Perlis, Asri Zainul Abidin.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, jika dibiarkan manusia akan mengharap kepada sesuatu yang tidak wujud ataupun tidak benar.

“Dalam membetulkan cara fikir seseorang insan, syirik dan khurafat hendaklah dibersihkan daripada merosakkan akal fikirannya.

“Maka tema Perkampungan Sunnah yang dipilih kali ini, iaitu ‘Membanteras Syirik, Menghapus Khurafat’ mengangkat ketinggian intelektualisme atau keupayaan fikir dan kekuatan akidah umat Islam.”

Baginda bertitah. Islam adalah agama yang meletakkan tauhid kepada Allah Aza Wajalla sebagai teras dalam penerimaan segala amal ibadah.

“Apa yang menggusarkan apabila sebahagian umat ini melakukan perkara boleh menjerumuskan diri mereka kepada dosa syirik.”

Baginda bertitah dalam berakidah, seseorang Muslim wajib menjadikan al-Quran dan al- Sunnah sebagai panduan dalam kehidupannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.