Motivasi ‘bogel, ritual syirik’: Polis panggil peserta

Motivasi ‘bogel, ritual syirik’: Polis panggil peserta

Beberapa saksi lain yang berada di lokasi kejadian turut dipanggil untuk dirakam keterangan.

Mohd Iqbal Ibrahim
Ketua Polis Shah Alam Mohd Iqbal Ibrahim berkata laporan mengenai perkara itu dibuat suami kepada seorang peserta program berkenaan pada akhir Februari lalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis memulakan siasatan berhubung dakwaan berlaku aktiviti tidak bermoral ketika penganjuran program motivasi rumah tangga di sebuah pusat konvensyen di Shah Alam.

Ketua Polis Shah Alam, Mohd Iqbal Ibrahim, berkata laporan mengenai perkara itu dibuat oleh suami kepada seorang peserta program berkenaan pada akhir Februari lalu.

“Hari ini, kita telah memanggil isteri pengadu bersama beberapa saksi lain yang berada di lokasi kejadian untuk dirakam keterangan. Kami turut menjemput wakil Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bagi sesi ini,” katanya dalam kenyataan, menurut Bernama.

Beliau berkata, individu yang mempunyai maklumat dan ingin tampil memberikan keterangan diminta menghubungi IPD Shah Alam atau Pegawai Penyiasat Anuar Amilah di talian 019 2255597.

Semalam, dilaporkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjalankan siasatan terperinci susulan penularan penganjuran motivasi rumah tangga yang didakwa berunsur syirik dan tidak bermoral.

Program dikatakan berlangsung di Shah Alam dari 27 hingga 30 Sept tahun lalu didedahkan seorang pengguna Facebook yang mendakwa kontroversi berlaku pada hari terakhir membabitkan kira-kira 50 peserta wanita di dalam dewan.

Dakwanya, insiden bermula apabila ‘penceramah’ wanita muncul dengan berbikini seterusnya berbogel dan menari bersama ‘ahli kumpulannya’.

Mereka kemudian mengajak peserta ikut sama menanggalkan pakaian selepas diberikan sejenis minuman.

Selain itu, peserta disuruh melakukan upacara ‘sacred bath’ dan ‘rebirth’ yang berbentuk seperti ritual keagamaan.

Pengguna Facebook itu mendakwa, aduan sudah dibuat dan bukti juga diserahkan kepada pihak berkuasa namun sehingga kini tiada tindakan diambil.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.