
Ketua Pengarah Jakim, Sirajuddin Suhaimee, berkata pihaknya mengambil perhatian serius kebimbangan orang awam dengan siasatan dijalankan bagi memastikan maklumat diperoleh jelas dan sahih sebelum tindakan yang wajar selaras peruntukan undang-undang.
“Kerajaan Madani melalui Jakim secara konsisten bersama pihak berkuasa agama negeri, tegas dalam menangani sebarang isu melibatkan kepentingan umat Islam khususnya berkaitan keharmonian institusi kekeluargaan, akhlak dan pemeliharaan nilai Islam.
“Usaha bersepadu ini juga adalah sebahagian daripada komitmen Jakim dan pihak berkuasa agama negeri dalam menangkis sebarang gejala dan anasir menyimpang serta pengaruh budaya songsang dalam masyarakat,” katanya dalam kenyataan.
Program dikatakan berlangsung di Shah Alam dari 27 hingga 30 Sept tahun lalu didedahkan seorang pengguna Facebook yang mendakwa kontroversi berlaku pada hari terakhir membabitkan kira-kira 50 peserta wanita di dalam dewan.
Dakwanya, insiden bermula apabila ‘penceramah’ wanita muncul dengan berbikini seterusnya berbogel dan menari bersama ‘ahli kumpulannya’.
Mereka kemudian mengajak peserta ikut sama menanggalkan pakaian selepas diberikan sejenis minuman.
Selain itu, peserta disuruh melakukan upacara ‘sacred bath’ dan ‘rebirth’ yang berbentuk seperti ritual keagamaan.
Pengguna Facebook itu mendakwa, aduan sudah dibuat dan bukti juga diserahkan kepada pihak berkuasa namun sehingga kini tiada tindakan diambil.
Sementara itu, Jakim menyeru seluruh rakyat khususnya umat Islam tidak terpengaruh fahaman dan gaya hidup bertentangan ajaran Islam dan nilai budaya tempatan.
“Orang ramai disaran sentiasa bekerjasama dengan Jakim dan pihak berkuasa agama negeri bagi menyalurkan maklumat serta informasi berkaitan isu seperti ini dalam menangani sebarang unsur bercanggah syarak,” katanya.