Mahkamah tetap 8 Julai keputusan saman fitnah Rosmah

Mahkamah tetap 8 Julai keputusan saman fitnah Rosmah

Hakim Ahmad Shahrir Salleh menetapkan tarikh itu selepas defendan tidak hadir ke mahkamah.

DATIN SERI ROSMAH MANSOR
Rosmah Mansor, isteri kepada Najib Razak mendakwa video itu mencemarkan reputasinya sebagai isteri bekas pemimpin negara dan penaung kepada pelbagai badan kebajikan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi menetapkan 8 Julai ini untuk menyampaikan keputusan berhubung penilaian ganti rugi dalam saman fitnah yang difailkan oleh Rosmah Mansor terhadap seorang pengguna TikTok yang menuduhnya terlibat dalam amalan ilmu hitam.

Saman itu berpunca daripada satu video yang dimuat naik oleh Ku Muhammad Hilmie Ku Din – pemilik akaun TikTok ‘CEO Hilmie Fighter’ – yang didakwa Rosmah mengandungi kenyataan palsu dan memfitnah.

Video berkenaan, yang diterbitkan pada 22 Mac 2023, dikatakan menggambarkan Rosmah sebagai melakukan perbuatan berdosa, mengamalkan sihir, dan perbuatan syirik.

Rosmah, isteri kepada bekas perdana menteri Najib Razak, memfailkan saman tersebut pada 19 Sept 2023, mendakwa video itu mencemarkan reputasinya sebagai isteri bekas pemimpin negara dan penaung kepada pelbagai badan kebajikan.

Beliau mendakwa kenyataan yang dibuat dalam video itu menjejaskan kedudukannya sebagai tokoh awam dan menjadi bahan cemuhan masyarakat.

Hakim Ahmad Shahrir Salleh menetapkan tarikh keputusan itu semasa prosiding dalam talian hari ini selepas defendan tidak hadir ke mahkamah.

Mahkamah turut membangkitkan satu isu perundangan, menyebabkan peguam utama Rosmah, Baharudeen Ariff, memohon penangguhan singkat bagi mengemukakan hujahan bertulis.

Rosmah turut diwakili oleh peguam Abu Bakar Isa Ramat dan Sureshmurti Ramani.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.