
Majistret Rais Imran Hamid menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Rosdi Ibrahim, 59, yang dikatakan melakukan perbuatan itu pada 23 Jan dan 6 Feb di dua lokasi berasingan.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan niat curang menipu dengan memperdaya mangsa mempercayai tertuduh akan membekalkan stok rokok dan tertuduh dengan curangnya mendorong mangsa menyerahkan wang tunai sebanyak RM5,500 pada 23 Jan di Kedai Roti Canai Berdepan Stesen Kereta Api Bandar Pasir Mas.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh pada 6 Feb lalu, di Lot Kedai Pasar Tasek Raja Pasir Mas dengan niat curang menipu mangsa berusia 53 tahun yang mendorong mangsa menyerahkan wang tunai sebanyak RM12,000 kepadanya, menurut Utusan Malaysia.
Bagi kedua-dua pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, boleh dikenakan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Syafiq Aizat Nazri, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Rifzan Rosli.
Terdahulu, Rifzan merayu hukuman minimum diberikan kerana tertuduh kini hanya bekerja sebagai pemotong rumput dan perlu menanggung isteri serta sembilan anak.
Mahkamah kemudian menjatuhi hukuman penjara tiga tahun bagi pertuduhan pertama dan hukuman penjara setahun bagi tuduhan kedua yang berkuat kuasa selepas selesai hukuman pertama.
Pengecualian hukuman sebat dibuat mengikut Seksyen 289 (c) Kanun Prosedur Jenayah atas faktor usia tertuduh.