Kanak-kanak perempuan maut digilis lori

Kanak-kanak perempuan maut digilis lori

Mangsa dilaporkan keluar dari celah pokok secara tiba-tiba ketika bermain bersama rakan sebelum dilanggar lori.

Polis berkata mangsa kanak-kanak perempuan berusia lima tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.
PETALING JAYA:
Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut selepas digilis sebuah lori dalam kemalangan di Kampung Paya Mengkuang, Batang Tiga, Melaka.

Ketua Polis Melaka Tengah, Christopher Patit, berkata kejadian kira-kira 5.30 petang itu menyebabkan mangsa, Nur Qayra Quraisya Muhamad Qayyum meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku di simpang tiga ketika mangsa sedang bermain bersama saudaranya di celah pokok di sekitar tempat kejadian.

“Pemandu lori lelaki berusia 37 tahun mendakwa tidak perasan kehadiran mangsa walaupun telah memastikan keadaan jalan selamat sebelum keluar dari simpang berikutan tindakan kanak-kanak itu yang tiba-tiba keluar dari celah pokok.

“Berikutan itu, lelaki berkenaan tidak menyedari mangsa yang sedang berlari ke arahnya sebelum terlanggar kanak-kanak itu,” katanya menurut Bernama.

Beliau berkata, mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat manakala sampel darah turut diambil daripada pemandu lori itu untuk mengesan kandungan alkohol dan dadah.

Katanya kes disiasat lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.