
Anwar yang juga menteri kewangan berkata, wujud salah faham bahawa kenaikan OPR akan menyebabkan inflasi yang lebih tinggi.
“Apabila permintaan untuk barangan dan perkhidmatan dalam ekonomi menjadi terlalu tinggi berbanding bekalan, harga akan cenderung untuk meningkat.
“Kadar OPR yang lebih tinggi akan membantu menyesuaikan permintaan kepada tahap yang lebih setara dengan bekalan seterusnya membantu mengurangkan tekanan terhadap kenaikan harga barangan,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Anwar juga mempertahankan keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan OPR yang dilakukan dengan “sangat berhati-hati” walaupun memberi kesan ke atas ansuran bulanan pinjaman.
Beliau berkata jika inflasi menjadi tidak terkawal, kuasa beli bagi semua isi rumah, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah, serta kuasa beli simpanan penabung dan pesara akan merudum akibat kenaikan harga yang mendadak.
“Peningkatan OPR pada Mei bukan bertujuan untuk merencatkan usaha pemulihan ekonomi sebaliknya, ia bertujuan memastikan ekonomi kekal sihat dan berkembang secara mampan, serta inflasi kekal terkawal bagi tempoh masa yang berpanjangan,” katanya.
Pada 3 Mei lalu, BNM menaikan OPR sebanyak 25 mata asas daripada 2.75% kepada 3%.
Terdahulu hari ini, bekas menteri kewangan Lim Guan Eng mengkritik BNM kerana menaikkan OPR dan berkata, keputusan itu hanya menguntungkan sektor perbankan.
Pengerusi DAP itu berkata, tiada sebab untuk BNM menaikkan OPR ketika ini apabila inflasi teras mampu dikawal secara perlahan, malah menghentikan kenaikan OPR pada Januari dan Mac apabila kadar inflasi lebih tinggi.