Ekonomi berpotensi catat prestasi lebih baik berbanding unjuran

Ekonomi berpotensi catat prestasi lebih baik berbanding unjuran

Penggunaan isi rumah dan sektor swasta akan terus menjadi tonggak utama pertumbuhan, disokong prospek pendapatan yang positif serta pasaran buruh.

kl skyline
Kedudukan negara sebagai pengeksport tenaga bersih memberi sokongan tambahan dalam persekitaran harga tenaga yang tinggi, kata BNM. (Gambar Envato Elements)
KUALA LUMPUR:
Pertumbuhan ekonomi Malaysia masih berpotensi mencatatkan prestasi lebih baik berbanding unjuran semasa bergantung kepada tempoh konflik Asia Barat, kata Timbalan Gabenor Bank Negara (BNM) Marzunisham Omar.

Beliau berkata penggunaan isi rumah dan sektor swasta akan terus menjadi tonggak utama pertumbuhan, disokong oleh prospek pendapatan yang positif serta pasaran buruh menggalakkan.

“Sudah tentu, ini disokong oleh sokongan dasar bersasar kerajaan untuk membantu terutamanya golongan yang mudah terjejas di negara ini serta prestasi kukuh dalam pertumbuhan pelaburan,” katanya dalam ucaptama pada program ucapan BNM mengenai ekonomi Malaysia dan perbincangan panel.

Marzunisham berkata kedudukan luaran Malaysia dalam keadaan baik, dengan rizab antarabangsa yang mencukupi, aset luar yang besar dan profil hutang luar yang menggalakkan, dengan hampir 60% daripada hutang negara adalah hutang jangka sederhana dan panjang.

“Pasaran bon kami adalah kukuh dan mudah didagangkan, dengan asas pelabur yang pelbagai, disokong oleh aliran masuk daripada pelabur jangka panjang yang stabil,” katanya.

Menurutnya, Malaysia terus mencatatkan lebihan akaun semasa, yang mencerminkan kekuatan asas manakala kedudukan negara sebagai pengeksport tenaga bersih memberi sokongan tambahan dalam persekitaran harga tenaga yang tinggi.

Mengenai inflasi, Marzunisham berkata unjuran masih bergantung kepada tempoh dan tahap keseriusan konflik Asia Barat, dengan BNM memantau rapat kenaikan kos serta sejauh mana kos itu dipindahkan kepada pengguna.

Beliau berkata beberapa faktor akan mempengaruhi tahap pemindahan kos, termasuk keadaan permintaan dan margin keuntungan perniagaan.

“Syarikat yang mempunyai margin tinggi mungkin lebih cenderung untuk menanggung kos yang tinggi manakala permintaan yang kukuh membolehkan pengguna untuk menyerap kenaikan harga.

“Berdasarkan pengalaman, pemindahan kos lazimnya tidak sepenuhnya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.