
Baru-baru ini, pimpinan Pemuda DAP dan Umno negeri berjabat pada satu majlis ramah mesra di Shah Alam, salah satu daripada aktiviti yang diusahakan sejak penubuhan kerajaan perpaduan.
“Tiada apa-apa prasangka cuma belum biasa bentuk kerjasama sebab sudah lama bertentangan,” kata Ketua Pemuda DAP Selangor, Ong Chun Wei, kepada FMT, dan menambah kedua-dua pihak sudi dan sedia berkenal-kenalan.
Ong memaklumkan bahawa kedua-dua sayap sedang menggiatkan penerangan sehingga ke peringkat bahagian mengenai kerjasama mereka.
“Imran baru sahaja bertemu dengan DAP di bahagian Sungai Besar, dan di Sepang juga sudah mula,” tambahnya, merujuk kepada rakan sejawatnya, Imran Tamrin.
“Saya rasa banyak bahagian lain sudah dimulakan. Respon akar umbi juga sudah mula menerima sebab ‘trend’ baru.”
Sementara itu, Imran ketika ditemui FMT berkata kedua-dua sayap mengadakan program bersama untuk membina ‘keserasian’.
“Kita telah laksana program bersama untuk bina ‘chemistry’ dan cipta kerjasama,” katanya. “Untuk menghadapi PRN, kita tidak mempunyai masa panjang.”
Ong memberitahu FMT bahawa antara aktiviti yang dijalankan ketika jelajah adalah jamuan suai kenal dan mesyuarat bersama.
Beliau yakin tidak lama lagi suatu kerjasama padu akan terbentuk antara DAP dan Umno, serta parti-parti lain dalam kerajaan perpaduan.
“Dua-dua pihak sedang berusaha bergabung kekuatan yang ada pada DAP dan Umno,” katanya.
Baru-baru ini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Ahmad Maslan, dan Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching, meminta penyokong masing-masing memilih calon kerajaan perpaduan pada PRN di enam akan datang.